KUALA LUMPUR: Permohonan baucar subsidi tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) 2.0 dibuka mulai hari ini untuk semua pemandu teksi yang memegang status 'Pemandu Pertama'.

Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pengambilan baucer itu boleh dilakukan di pejabat wilayah dan negeri SPAD atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri kecuali UTC Pudu serta semua pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak.
Bagi pemandu teksi yang masih belum mendapatkan baucar tayar TR1Ma 1.0, mereka perlu berbuat demikian dengan segera kerana permohonan masih dibuka, tetapi penebusan tayar perlu dilakukan sebelum 30 Sept ini, demikian menurut SPAD dalam kenyataan di sini.

Menurut kenyataan itu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan bagi memudahkan penerima mendapatkan baucar antaranya pemohon hanya perlu mengemukakan kad pengenalan dan kad pemandu sahaja yang seterusnya maklumat berkaitan akan diambil berdasarkan maklumat sedia ada dalam sistem SPAD daripada TR1Ma 1.0.

"Sekiranya mana-mana pemandu teksi yang tidak memiliki kad pemandu atau kad pemandunya telah luput, permohonan atau proses memperbaharui kad pemandu boleh dilakukan di pejabat SPAD secara percuma (hanya bagi pemandu di Semenanjung Malaysia sahaja) walaupun terdapat saman yang belum diselesaikan. Baucar tayar dan kad pemandu akan diserahkan kepada pemandu pada hari yang sama," menurutnya.

Kerajaan pada bulan lepas mengumumkan bahawa setiap pemandu teksi yang berstatus 'Pemandu Pertama' akan menerima baucar subsidi tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) 2.0, bernilai RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun.

Namun SPAD tidak menyatakan tarikh tutup permohonan untuk baucar subsidi tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) 2.0.
Selain itu, pemandu teksi terbabit tidak perlu menunggu sehingga dua minggu untuk mendapatkan tayar seperti program TR1Ma 1.0 dan pemandu boleh terus ke kedai tayar pilihan mereka serta menukar tayar dengan segera.

Menurut kenyataan itu lagi, pada pusingan pertama pemberian TR1Ma 1.0, program itu berjaya membantu kira-kira 76 peratus daripada 67,470 pemandu teksi di seluruh negara.

Program TR1Ma bertujuan meringankan beban pemandu teksi menanggung kos penyelenggaraan teksi sekaligus dapat meningkatkan tahap keselamatan teksi di negara ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 penumpang teksi setiap hari. - BERNAMA