PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengungguli anugerah jenama terbaik pada anugerah tahunan The BrandLaureate-SMEs Chapter awards 2010.

Sementara itu, Secret Recipe pula memenangi anugerah jenama paling popular disusuli Munchy's yang meraih anugerah jenama paling disukai, manakala Yomeishu dianugerah sebagai jenama paling kukuh.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Eksekutif BrandLaureate, Dr KK Johan.

Anugerah Khas buat kali pertama diperkenalkan iaitu Anugerah Tokoh Usahawan PKS Lelaki – Tun Dr Mahathir Mohamad 2010 menjadi milik Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan NAZA, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Anugerah khas kedua iaitu Tokoh Usahawan Wanita PKS -Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali 2010 pula dimenangi, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi jenama produknya SimplySiti.

Bagi kategori khas anugerah utama The BrandLaureate yang dipilih peserta PKS sebagai jenama paling digemari terdiri daripada 11 syarikat.

Syarikat terbabit adalah Maybank bagi kategori perbankan; Public Mutual bagi saham amanah); Proton (automotif); Pos Laju (perkhidmatan penghantaran pantas); Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (pemaju hartanah); Touch n Go (penyedia pembayaran elektronik); AAM (bantuan jalan raya); MEPS (pembayaran antara bank); Yellow Pages (direktori media); Maxis (telekomunikasi) dan OSIM (produk kesihatan).
Anugerah The BrandLaureate - PKS, anugerah jenama paling berprestij bagi mengiktiraf kecemerlangan jenama syarikat PKS edisi 2010, diperkenalkan khusus sebagai platform utama untuk meningkatkan lagi jenama syarikat berkenaan di negara ini.