IPOH: Seorang bekas mekanik didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini atas lima tuduhan jenayah seksual terhadap empat wanita.

Malek Ridzuan Isroll, 27, mengaku tidak bersalah terhadap satu tuduhan merogol, satu tuduhan meliwat, satu tuduhan cuba meliwat serta dua tuduhan cuba merogol.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nora Sharif dan Nurul Hafizah Kamaludin supaya tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran serta dianggap perogol bersiri kerana jenayah dilakukannya.

Hakim Noor Hayati Mat dan Madihah Harullah menetapkan dua tuduhan kes cubaan merogol dan meliwat pada 15 November manakala Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan kes tuduhan merogol dan cubaan meliwat disebut semula pada 12 November.

Kejadian berlaku di sekitar Daerah Batu Gajah dan Kampar antara 11 dan 28 September lalu.