Kuala Lumpur: Kerajaan diminta mempertimbangkan imbuhan khas untuk tangga gaji kira-kira 30,000 guru dan pensyarah di sekolah, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) yang memiliki ijazah lanjutan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata ramai guru dan pensyarah menyahut seruan Kementerian Pelajaran untuk memperoleh ijazah lanjutan, demi transformasi pendidikan negara.
“Mereka sanggup berkorban masa dan kewangan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD), malah ada yang berjaya lulus dari universiti luar negara.


“Bagaimanapun, mereka tidak menikmati sebarang ganjaran khusus untuk nilai tambah yang dimiliki. Justeru, pemberian imbuhan khas dengan kenaikan dua tangga gaji untuk lulusan ijazah sarjana dan tiga tangga gaji bagi pemegang PhD adalah wajar sebagai pengiktirafan.

“Ini kerana ketinggian ilmu pengetahuan mereka itu akhirnya memanfaatkan pelajar juga,” katanya kepada BH, semalam.

Sementara itu, Hashim menggesa Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan dengan kesatuan guru dan pihak berkepakaran dari universiti tempatan mengenai kesan pengambilan guru asing untuk mengajar pelajar di sekolah negara ini, terutama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Adalah penting untuk kerajaan meneliti secara mendalam kebaikan dan keburukan langkah pengambilan guru asing, kerana perkara itu turut membabitkan soal kebudayaan serta kos tinggi.
“Dalam konteks ini, NUTP menyarankan kementerian tumpu kepada pengambilan pesara guru opsyen Bahasa Inggeris tempatan untuk berkhidmat secara kontrak eksklusif bagi pengajaran subjek itu tanpa membabitkan aktiviti sekolah yang lain.

“Ilmu mereka bukan saja setanding atau lebih baik daripada guru luar negara, malah kaya dengan pengalaman dan arif dengan budaya pelajar tempatan. Selain itu, produktiviti dan pendapatan mereka akan menyumbang balik kepada ekonomi negara,” katanya.