Langkah SPR bukan perkara baru mampu jimat wang, masa
SEPERTI dijangka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Jumaat lalu menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Pahang, serentak dengan DUN Merlimau di Melaka iaitu pada 6 Mac, manakala penamaan calon pada Sabtu depan. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata langkah mengadakan pilihan raya kecil serentak itu boleh menjimatkan banyak wang dan masa suruhanjaya. Langkah SPR mengadakan pilihan raya serentak bukan perkara baru kerana sejak Pilihan Raya Umum 2004 (PRU12), sudah dua kali ia diadakan iaitu kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah pada 7 April 2009, diikuti DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah pada 4 November lalu. Pada 2002, pilihan raya kecil Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit di Kedah, juga diadakan serentak.
Bagaimanapun, pilihan raya kecil serentak di Merlimau dan Kerdau, masing-masing ke-15 dan 16 selepas Pilihan Raya Umum 2008 ini, mungkin yang terakhir pada penggal Parlimen sekarang. Jika berlaku kekosongan kerusi selepas pertengahan April depan, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan kerana penggal sekarang hanya tinggal dua tahun lagi. Justeru, sebarang keputusan daripada dua pilihan raya kecil ini amat penting kepada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kerana ia boleh dijadikan isyarat awal prestasi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bagi BN, keputusan di Merlimau dan Kerdau, yang kepada banyak pihak, boleh dimenanginya dengan mudah, akan menentukan sama ada momentum sokongan semula rakyat, seperti diperlihatkan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, berterusan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Kepada parti pembangkang, Merlimau dan Kerdau bukan saja bakal memperlihatkan kemampuan mereka untuk mengembalikan sokongan yang pernah dikecapi dalam beberapa pilihan raya kecil sejurus selepas pilihan raya umum lalu, tetapi bakal menentukan sejauh mana pengaruh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan pengundi majoriti Melayu itu.
Lebih penting lagi, kedua-dua pilihan raya ini turut menguji jalinan kerjasama PAS-PKR kerana walaupun kedua-dua kawasan itu ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum lalu. Calon UMNO, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan menewaskan calon PAS di Merlimau, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi, manakala di Kerdau, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim (UMNO) mengalahkan Hassanudin Salim (PAS) dengan majoriti 1,615 undi.
PKR Melaka dilaporkan menawarkan Ketua Angkatan Muda parti itu, Shamsul Iskandar Md Akin, sebagai calon di DUN Merlimau. Antara alasan PKR untuk bertanding di Merlimau ialah lebih 30 peratus pengundi bukan Melayu daripada 10,471 pengundi di kawasan itu. Mereka berpendapat PAS mempunyai peluang lebih cerah di Kerdau, yang mempunyai 89 peratus pengundi Melayu daripada 8,451 pengundinya. Selepas PAS gagal meningkatkan undi pada pilihan raya DUN Tenang, baru-baru ini, kalangan tertentu dalam PKR berpendapat, Merlimau seharusnya ditandingi calon mereka. Bagaimanapun PAS setakat ini tetap mahu meletakkan calon mereka di Merlimau dan Kerdau, yang akan diumumkan pada Khamis ini walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya belum menentukan parti mana yang akan bertanding di Kerdau.
BN, yang berjaya meningkatkan majoritinya di Tenang baru-baru ini, akan mengumumkan calonnya di Kerdau esok dan Merlimau, lusa. Walaupun ramai bersetuju BN mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kedua-dua kerusi itu, ia tidak harus mengambil mudah pilihan raya kecil ini. Sebagai kubu kuat UMNO, kemenangan saja tentunya tidak mencukupi tanpa majoriti yang lebih besar daripada apa dicatat pada pilihan raya umum lalu.
Memang sukar untuk mencari sebab kenapa BN tidak boleh meningkatkan majoriti di Merlimau dan Kerdau jika perkembangan politik semasa serta rekod BN di dua kawasan itu ambil kira. Bagaimanapun, dalam ketiadaan isu besar untuk dimainkan pembangkang, calon akan menjadi faktor utama yang menentukan sebesar mana majoriti BN. Pembangkang, apabila sudah terdesak, tidak akan teragak-agak untuk melempar fitnah dan menyerang peribadi calon seperti berlaku pada pilihan raya kecil sebelum ini.
Pilihan raya kecil serentak Merlimau dan Kerdau juga bakal menguji sejauh mana kesediaan jentera masing-masing untuk menghadapi pilihan raya umum nanti. Kekerapan pilihan raya kecil dalam tempoh setahun lalu memang memberi pengalaman berguna kepada parti bertanding, tetapi pada masa sama, ia meletihkan jentera pilihan raya masing-masing, sama ada di segi tenaga, kewangan atau keserasian kerjasama di kalangan komponen. Dalam kata lain, pilihan raya serentak Merlimau dan Kerdau pada 6 Mac ini, yang diadakan kira-kira sebulan selepas pilihan raya kecil Tenang, bakal mengukur stamina BN dan pakatan pembangkang.