login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 23 Mei 2013
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Kaunselor
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Pilih jodoh
Bersama Noraini Ismail
bhnews@bharian.com.my
2012/02/25

Ibu tunggal tak suka bermenantukan orang luar daerah

DALAM filem Ibu Mertuaku arahan Seniman Agung P Ramlee, Mak Dara yang memegang watak Nyonya Mansor, masih bertimbang rasa membenarkan anaknya Sabariah, lakonan Sarimah, menikahi kekasihnya, Kassim Selamat.
Walaupun Nyonya Mansor buat keputusan secara terpaksa, dia tetap tidak menerima menantu seorang pemuzik. Anak gadis tunggal dihalau dan tidak lagi dianggap kerabat yang berhak mewarisi pusaka.
Namun sebagai ibu, dia menghulurkan wang untuk bekalan anak dan menantunya memulakan hidup baru.

Cerita itu berlaku pada era 1950-an di mana masyarakat terlalu taksub dengan nilai darjat dan keturunan. Kini dalam abad ke-21, masih ada ibu bapa yang bertindak menghalang anak berkahwin mengikut pilihan hati seperti yang ingin Kak Ani kongsi bersama pembaca ruangan ini.

Intan (bukan nama sebenar) terpaksa menjeruk rasa selepas teman lelakinya, Lan (bukan nama sebenar), mengambil keputusan menamatkan hubungan cinta mereka selama tujuh tahun.

Keputusan itu dibuat Lan selepas ibunya enggan menerima menantu ‘orang jauh’. Ibu Lan, ibu tunggal yang mempunyai sembilan anak mengetahui hubungan Lan dan Intan sejak mereka di kampus. Ketika Intan bertandang ke rumah Lan, ibu melayan Intan dengan baik. Tidak sedikit pun ibu Lan menunjukkan dia tidak merestui hubungan itu.

Selepas Lan tamat belajar, Ibu meminta Lan kembali bekerja di kawasan berdekatan rumah.

Sebagai anak yang patuh, Lan mengikut kehendak ibunya tanpa menyangka itulah strategi ibu untuk memisahkan Lan dengan Intan.

Ketika Lan menyatakan hasrat untuk mengambil Intan sebagai suri di hatinya, ibu menasihatkan Lan melupakan saja niatnya.

Alasannya dia sudah tua, sering sakit dan tidak berdaya bergerak jauh jika bermenantukan ‘orang jauh’.

Ibu Lan bimbang tidak sempat menatap wajah Lan jika dia nazak kerana terhalang dengan perjalanan jauh yang mengambil masa lama.

Dia meminta Lan lupakan Intan dan berjanji untuk mencari jodoh Lan dengan gadis dekat rumah.

Lan tidak mampu berkeras kerana takut dengan ugutan ibu yang tidak mahu mengaku anak dan menghalalkan susunya jika Lan tetap dengan keputusannya.

Pengalaman abang dan kakak yang berkahwin dengan orang jauh dan mendapat tentangan ibu sehingga menyebabkan rumah tangga mereka berantakan, menjadi pengajaran kepada Lan untuk tidak membantah cakap ibu.

Abang dan kakak Lan yang berkahwin ikut pilihan ibu hidup bahagia dan kekal sehingga sekarang.

Apabila mengingatkan keadaan itu Lan nekad melupakan Intan walaupun tahu perpisahan itu melukakan hatinya dan Intan. Lan lebih takut dicop anak derhaka.

Dalam satu lagi kes, Faiz (bukan nama sebenar) terpaksa menurut kehendak ibu yang menentukan jodohnya.

Faiz terpaksa meninggalkan kekasih yang dikenalinya selama lima tahun selepas ibu menemui calon isterinya.

Walaupun tahu haknya untuk memilih jodoh sendiri, Faiz terpaksa melupakan hasrat itu kerana tidak mahu mencetuskan permusuhan dengan ibu.

Semua urusan peminangan dan mengatur majlis kahwin dibuat oleh ibu.

Faiz hanya menyerahkan tubuhnya pada hari majlis pernikahan.

Walaupun berkahwin dengan wanita yang tidak dikenali dan bukan berdasarkan cinta, Faiz tetap menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan kini mempunyai dua cahaya mata.

Faiz masih berhubungan dengan bekas kekasih lama sebagai sahabat saja.

Satu kes lagi yang Kak Ani ingin paparkan ialah sikap ibu tunggal yang terlalu sayangkan anak lelakinya menjadi punca perceraian pasangan Nasha (bukan nama sebenar) dan Man (bukan nama sebenar).

Berbanding dua kes terdahulu, perkahwinan Nasha dan Man direstui kedua-dua keluarga. Mereka sempat menikmati kehidupan berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata.

Hubungan Nasha dan Man berantakan apabila ibu Man tidak berpuas hati dengan Nasha yang dianggapnya tidak pandai mengurus rumah tangga.

Nasha tidak faham apa yang diinginkan oleh ibu mentuanya kerana sejak mereka mempunyai anak, semua perbelanjaan rumah, Nasha yang tanggung.

Nasha tidak pernah menghalang Man membantu ibu dan adik-beradiknya.
Kalau ikutkan, Nasha yang seharusnya mempersoalkan suaminya yang tidak mengendahkan keperluan keluarga.

Selepas dua tahun berkahwin, perkahwinan Nasha dan Man goyah. Mereka hampir bercerai, tetapi sempat diselamatkan selepas Nasha dan Man mendapat nasihat daripada ibu bapa Nasha.

Tahun ini, rumah tangga mereka kembali dilanda badai. Selain tidak tahan dengan kerenah ibu mentua, Nasha berdepan pula dengan khabar angin, suaminya mempunyai hubungan dengan rakan sekerjanya.

Apabila sudah berdepan dua masalah besar, Nasha nekad berpisah dengan suami tanpa sempat merujuk masalah mereka kepada keluarga.

Kedua-duanya dalam proses bercerai. Dalam keadaan sekarang ibu mentua masih menghantar SMS menuduh Nasha yang menjadi punca perceraian ini.

Walaupun berdepan masalah besar, Nasha tidak pernah mencampuradukkan masalah peribadi dengan pekerjaan.

Berkat kesabaran itu, Nasha dimurahkan rezeki dan dinaikkan pangkat. Buat sementara anaknya dijaga ibu bapanya di kampung.

Tiga kes yang Kak Ani kemukakan dalam isu kali untuk kita renungi bersama berpunca daripada seorang wanita bergelar ibu.

Sebagai ibu memang kita ada perasaan kasih kepada anak, tetapi kita kena ingat anak itu amanah Tuhan dan dipinjamkan sementara untuk menggembirakan hati kita semasa hidup.

Kalau seseorang itu pandai mendidik anak dan membekalkannya dengan keimanan, anak itu pasti tahu akan tanggungjawabnya kepada ibu walaupun berkeluarga.
Jadi tak perlulah kita bimbang anak berjauhan selepas berkahwin kerana ikatan iman itu tidak memutuskan hubungan darah.

Kalau anak lelaki sudah berkahwin, seseorang ibu jangan bezakan kasih sayang antara anak sendiri dan menantu. Hormatilah kehidupan mereka, Insya-Allah mereka menghormati dan segan dengan kita.

Sikap ibu tunggal yang suka mengongkong anak seperti yang dialami Lan kerana ibunya tidak yakin kepada diri dan kurang penyerahan kepada Allah.

Kak Ani hairan dalam keadaan negara yang pesat membangun, hubungan jalan dan komunikasi bertambah baik, masih ada yang takut bermenantukan ‘orang jauh’.

Alasan diberikan ibu yang memerlukan perhatian anak pada saat berdepan dengan ajal, tidak logik kerana ajal dan maut hanya Allah yang tentukan.

Ada anak yang duduk dekat pun, kalau Tuhan tak izinkan, tidak sempat juga menghadap ketika ibu nazak.

Seseorang ibu sepatutnya mendoakan kebahagiaan anak, bukan memporak-perandakan rumah tangga mereka. Betapa besar dosa jika kita meruntuhkan masjid yang sudah dibina.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas