Kota Bharu: Kami harap pemain yang menyarung jersi nombor 9 lebih baik daripada Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan bantu Kelantan lakar sejarah lebih gemilang, kata ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi.

Pemain tengah yang dikenali sebagai Piya berkata, pemain lebih baik daripada Mat Yo diperlukan untuk mengemudi jentera serangan yang ditinggalkan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut itu.
Dia bagaimanapun mengakui Mat Yo adalah antara penyerang terbaik pernah dimiliki The Red Warriors (TRW).

Kehilangan Mat Yo memang dirasai pasukan, namun kita perlu menerima realiti dalam dunia bola sepak pemain datang dan pergi adalah lumrah. Apa yang diharapkan pengurusan dapat mencari pengganti, malah lebih baik daripada Mat Yo bagi menggalas tugas di barisan depan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Mat Yo tidak tersenarai dalam barisan pemain diumumkan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini dan pemain yang akan menggantikan tempatnya masih menjadi teka-teki.

Setakat ini, pasukan Kelantan sudah mengikat kontrak empat muka baru iaitu K Nanthakumar dari Perak dan dua pemain T-Team, Zairo Annuar Zailani dan Mohd Faiz Subri serta bekas pemain Kelantan, Muhd Izuan Salahuddin yang dipanggil semula dari pasukan Harimau Muda A.

Dalam perkembangan lain, pemain Kelantan menerima sumbangan pakej umrah daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan ke atas kejayaan musim ini.
Pakej umrah itu diberikan kepada pemain beragama Islam dan pemain bukan beragama Islam, kita tukar kepada wang tunai yang sama nilai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.