KUALA LUMPUR: Polis bantuan yang ditempatkan di pusat beli belah hanya mempunyai kuasa menahan penjenayah dan sebarang tindakan lanjut perlu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene, berkata mereka tidak diberi kuasa untuk menyoal siasat atau melakukan sebarang tindakan kekerasan.
"Kehadiran polis bantuan di pusat beli belah ini adalah satu usaha yang dijalankan bagi membantu PDRM mencegah serta mengurangkan kes jenayah di kawasan berkenaan," katanya di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.


Mortadza berkata, 22 polis bantuan daripada pusat beli belah di ibu kota adalah antara 97 peserta latihan di PULAPOL di sini, ketika ini.

“Latihan yang diberikan antaranya meliputi kursus kawad, latihan jasmani, seni mempertahan diri, menembak, undang-undang, penyeliaan dan rondaan bagi meningkatkan kemahiran pelatih polis bantuan daripada pelbagai agensi,” katanya.

Mereka menjalani latihan sejak 10 Jun lalu dan dijangka tamat latihan pada 10 Ogos depan sebelum berkhidmat semula dengan agensi masing-masing.

Beliau berkata, semua polis bantuan perlu menjalani latihan asas selama sembilan minggu di PULAPOL baru sebelum layak dilantik sebagai polis bantuan. - BERNAMA