Polis dedah ancaman terhadap Psy

Polis dedah ancaman terhadap Psy

2013/02/15

Georgetown: Polis mengesahkan wujud ancaman terhadap nyawa Psy apabila penyanyi dan penghibur antarabangsa dari Korea Selatan itu tiba di negeri ini, kira-kira jam 7 pagi, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata beliau mendapat maklumat daripada ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu mengenai ancaman ke atas penyanyi berkenaan.

Polis terpaksa meningkatkan kawalan dan mengiringi Psy sebaik penyanyi itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas di sini, sehinggalah beliau beredar.

Buat keputusan segera

Anda tahu bila dia berangkat meninggalkan Pulau Pinang? Pada awal pagi kira-kira jam 2 pagi. Kami memastikan beliau selamat dan kami mengiringi beliau ke lapangan terbang. Beliau meninggalkan negara ini dengan selamat selepas itu, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata ancaman terhadap nyawa Psy menjadi punca Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan pentas lebih awal selepas acara menggaul yee sang pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Han Chiang.

Akibat ancaman itu, kami terpaksa membuat beberapa keputusan segera dan meminta Perdana Menteri bersama pemimpin lain untuk segera turun dari pentas selepas acara menggaul yee sang.

Psy bukan enggan bersama Perdana Menteri seperti yang didakwa, sebaliknya ancaman terhadap keselamatan dan nyawanya menyebabkan Psy tidak keluar untuk menggaul yee sang, katanya.