NUSAJAYA: Tiga anggota polis berdepan detik mencemaskan apabila penjenayah yang dikejar di kawasan belukar Kampung Tiram Duku, dekat sini, bertindak agresif dengan membaling parang dan batang besi ke arah mereka.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi kelmarin, anggota polis terbabit hanya cedera ringan di ibu jari apabila sempat mengelak objek yang dibaling penjenayah berkenaan sebelum berjaya menahan lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata tiga anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Tanjung Kupang, sedang buat rondaan bermotosikal sebelum mendapat maklumat mengenai kes samun di premis ternakan burung walet.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, polis melihat dua pekerja dengan seorang daripada tangan diikat, manakala tiga suspek masih di situ tetapi terus melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

“Tiga suspek kemudian berpecah dengan dua daripadanya melarikan diri dengan kereta menyebabkan polis mengejar seorang lagi suspek sehingga ke kawasan semak berhampiran tempat kejadian.

“Suspek berusia 30-an itu kemudian membaling parang dan peralatan besi ke arah anggota polis yang mengejarnya sejauh satu kilometer sebelum berlaku pergelutan sehingga berjaya menahan suspek berkenaan, manakala dua lagi rakan penjenayah itu sedang diburu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini semalam.

Noor Hashim berkata, akibat pergelutan itu seorang anggota cedera ringan dan susulan penahanan lelaki itu, polis berjaya merampas Proton Saga, beberapa paket dadah, peralatan memecah rumah, telefon bimbit dan wang tunai RM165.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan samun dikenali ‘Kumpulan Saga’ itu mendalangi lima kes samun dalam tempoh empat bulan di kawasan itu dengan taktik menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun mangsa.

Beliau berkata, suspek yang turut mempunyai lima rekod jenayah dan positif heroin itu direman selama tujuh hari sehingga Rabu bagi siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Polis kini sedang memburu dua lagi suspek yang sudah dikenal pasti identitinya dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta melaporkannya ke balai polis berhampiran," katanya.