Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata siasatan itu susulan laporan polis dibuat oleh badan induk berkenaan pada 18 Ogos lalu berhubung `kehilangan’ dana berkenaan.
Hammam bidas tuduhan
“Polis sedang meneliti maklumat berkaitan, termasuk butiran audit yang diserahkan badan induk itu. Kita akan panggil sesiapa saja, termasuk pegawai kanan terbabit bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Misteri kehilangan dana itu sebahagian daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah membabitkan Presiden AFC, Mohamed Hammam yang digantung sebelum ini.
Bagaimanapun, Hammam dalam satu kenyataan sebelum ini membidas tuduhan, malah menafikan beliau menyalahgunakan kedudukannya dalam badan induk untuk kepentingan peribadi, termasuk menambah kekayaan keluarganya.
Malah, beliau turut menjelaskan setiap bayaran yang dibuat sebelum ini adalah menggunakan wangnya sendiri, terutama bagi membantu pihak tertentu dan beberapa rakannya, termasuk Presiden AFC, Zhang Jilong.
Difahamkan, Zhang juga individu bertanggungjawab mengarahkan semakan audit dilakukan bagi mengenalpasti bagaimana Hammam, yang juga seorang warga Qatar boleh memiliki kekayaan luar biasa, termasuk mempunyai kaitan dengan syarikat pemegang kontrak AFC.
Sementara itu, Izany berkata, hasil siasatan awal mendapati laporan audit badan induk itu menunjukkan dana berkenaan dipindahkan ke beberapa akaun bank di luar negara sepanjang lima tahun lalu, tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
“Ini lebih kepada kes pecah amanah membabitkan penyelewengan dana, dengan pelakunya boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan,” katanya sambil memaklumkan siasatan mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

Senarai Komen