Polis syak 2 peniaga diculik Abu Sayyaf
Kuala Lumpur: Polis percaya dua ahli perniagaan yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah ladang di Kampung Manakayang, Sabah, Rabu lalu didalangi kumpulan bersenjata negara jiran termasuk Abu Sayyaf.

Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata ia berdasarkan modus operandi digunakan iaitu mangsa diculik sekumpulan lelaki bersenjata api sebelum mereka dilarikan ke perairan antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci dilakukan dan pihaknya kini giat mengesan kedudukan terkini mangsa yang dilarikan sekumpulan lima lelaki bersenjata api.

Kita percaya penculikan terancang itu didalangi kumpulan pemberontak termasuk Abu Sayyaf. Modus operandi digunakan mereka sama dan tujuan mereka hanya satu iaitu wang.

Sehingga kini selepas lima hari ahli perniagaan itu diculik, keluarga mangsa belum menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan, katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Rabu itu, kumpulan penculik termasuk seorang bertopeng dikatakan menyerbu ladang sawit kira-kira dua kilometer dari pantai di Kampung Manakayang bersebelahan FELDA Sahabat 15, Lahad Datu, sebelum membawa dua mangsa bersaudara menaiki sebuah bot enjin sangkut.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di sebuah rumah burung walit di ladang seluas 400 hektar milik mereka bersama dua pekerja warga tempatan, namun dua pekerja terbabit tidak diapa-apakan.
Kejadian dipercayai didalangi kumpulan bersenjata yang sama berlaku pada dua tahun lalu di Semporna, Sabah apabila pengurus syarikat pembiakan rumpai laut, Lai Wing Chau, 33, dan penyelia, Tsen Vui Chung, 41, diculik sekumpulan lelaki bersenjata, termasuk dua menggunakan senapang, manakala yang lain bersenjatakan parang.

Kumpulan penculik terbabit dipercayai meminta wang tebusan 50 juta peso (kira-kira RM3.6 juta) daripada pemilik syarikat pembiakan rumpai laut itu melalui pihak yang dipercayai menjadi perantara sebelum 10 bulan dibebaskan.

Mengulas lanjut, Fuzi berkata, buat masa sekarang, kes berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Polis Sabah serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), namun pihaknya turut membantu mengesan kedudukan mangsa.

Saya harap pihak media tidak terlalu memperbesarkan isu ini kerana ia membabitkan nyawa mangsa yang kini masih dalam tahanan. Sebarang perkembangan kita akan memaklumkan nanti, katanya.