Polis tembak mati penjenayah kes samun, curi kereta mewah di Manjung

Polis tembak mati penjenayah kes samun, curi kereta mewah di Manjung

2013/02/18

IPOH: Polis menembak mati seorang penjenayah berusia 25 tahun yang bersenjatakan pistol Revolver.38 dalam kejadian berbalas tembakan di Sungai Wangi, Manjung, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sepasukan polis rondaan mengekori Naza Citra dalam keadaan mencurigakan selepas semakan mendapati nombor pendaftaran WKH 9262 digunakan adalah palsu berikutan didaftarkan atas kenderaan Proton Waja.

Apabila menyedari kenderaannya diekori, suspek yang berasal dari Taman Sungai Wangi, Ayer Tawar, tidak mematuhi arahan memberhentikan kenderaan sebaliknya bertindak memecut laju ke arah Kampung Baru menuju Sungai Wangi untuk melarikan diri.

Selepas dikejar beberapa kilometer, kereta suspek terbabas di selekoh Sungai Wangi dan kemudian bertindak melepaskan tembakan ke arah kereta polis menyebabkan polis terpaksa membalas tiga das tembakan mengenai tubuh suspek yang dikenali sebagai Farid Abdul Hamid.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam, berkata polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes bunuh selain sembilan kes curi dan samun kereta mewah di sekitar Sitiawan sejak 2006 dengan kematian suspek.

"Suspek turut mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes penyalahgunaan dadah dan kes samun kenderaan di Slim River, Tapah dan Sitiawan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui satu paket kecil lutsinar mengandungi syabu di dalam beg silang suspek, sebilah parang panjang, satu kelonsong, tiga butir peluru dan sepucuk pistol Revolver.38 Smith and Wasson dipercayai digunakan bagi kegiatan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Paramasivam berkata, kenderaan digunakan suspek adalah kenderaan curi dilaporkan hilang di Balai Polis Tun H S Lee di ibu negara pada 7 Mei tahun lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Sekyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) kerana melepaskan tembakan bagi menghalang tugas polis dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh dengan niat.

Dalam kes berasingan, serbuan polis di rumah teres berkembar di Haluan Tasik Timur Tiga, Anjung Bercham Megah di sini jam 2 petang kelmarin, berjaya menemui 177 butir peluru masing-masing 149 biji jenis 9 milimeter (mm) dan 28 biji peluru jenis .22, petang kelmarin.

Paramasivam berkata, semua peluru itu ditemui dalam satu beg plastik yang ditimbus dengan pasir di belakang rumah berkenaan.

Katanya, hasil maklumat orang awam, rumah yang sentiasa bertutup dan tidak berpenghuni itu dibeli warga asing untuk dijadikan makmal pemprosesan dadah.

"Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ipoh dibuat selepas risikan selama seminggu namun gagal menemui dadah di kawasan rumah sebaliknya hanya terdapat peralatan dapur termasuk mesin pengisar dipercayai digunakan untuk memproses dadah," katanya.