KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu laporan penuh siasatan kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah seberat 753 kilogram bernilai RM254 juta di Rompin, Pahang, Mei tahun lalu, sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pada ketika ini polis sedang melakukan siasatan menyeluruh kes terbabit, termasuk menimbang untuk menggantung kerja 10 anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor itu.
"Nanti dulu, jangan terburu-buru (untuk gantung kerja). Kita masih lagi menyemak semula perkara ini. Kita tengok laporan lengkap dulu, kemudian barulah kita boleh putuskan apa-apa.

"Saya akan tengok secara menyeluruh perkara ini, tidak melihat secara individu sahaja," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil mengikut keperluan dan penelitian oleh Kementerian Dalam Negeri, iaitu mendakwa mereka mengikut Kanun Keseksaan.

Ismail mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan atas tuduhan mengedar dadah yang bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir ketika menjatuhkan hukuman tersebut, Rabu lalu turut berkata, mahkamah dimaklumkan terdapat laporan bahawa beberapa anggota polis mengaku mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram daripada dadah yang dirampas itu.
Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan polis, dan mereka yang melakukan salah laku itu perlu dikenakan hukuman berat daripada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia, iaitu hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.

Ismail berkata, dengan pendedahan kes sebegini, jelas menunjukkan PDRM masih perlu lagi memantapkan integritinya sebagai sebuah pasukan yang adil dan telus dalam setiap siasatannya.

"Apa yang penting, saya runsing melihat dari sudut elemen, disiplin polis, integritinya. Sejak jadi Ketua Polis Negara ini, agenda saya antara lain berkait dengan integriti kerana seolah-olah ada lagi (segelintir) polis berkelakuan demikian. Maknanya kita perlu cari jalan lain untuk terus mengintegritikan PDRM," katanya. - BERNAMA


-==================== ==============

JIKA KU LI TOLAK JADI CALON, PENGGANTINYA MESTI ANAK TEMPATAN - KHAIRY

Jika Ku Li tolak, calon pengganti mesti anak tempatan:: Khairy

REMBAU:Jika Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menolak menjadi calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, anak tempatan yang dicalonkan itu pula mendapat restu beliau, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

"Pemuda UMNO akan memberi sokongan padu terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan dan yakin calon yang akan diketengahkan itu adalah seorang yang berwibawa," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Dewan Seri Rembau di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata beliau sudah mengarahkan Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang membuat persiapan seperti yang dibuat untuk menghadapi pilihan raya kecil sebelumnya.

Katanya, Pemuda UMNO sudah mengenal pasti senarai pengundi muda dan melahirkan keyakinan bahawa mereka akan menyokong Barisan Nasional.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang turut hadir pada majlis itu berkata, Pemuda Kelantan yakin bahawa pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihan raya itu akan dapat memberikan impak yang besar.

"Kita merasakan sudah tiba masanya Tengku Razaleigh diberi peranan yang besar pada pilihan raya kecil ini, lebih-lebih lagi beliau adalah seorang pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik di Kelantan," katanya.

Katanya, Tengku Razaleigh harus diberi peranan yang besar, bukan sahaja sebagai Ahli Parlimen malah sebagai ahli DUN yang akan membawa suara rakyat Kelantan dalam sidang dewan negeri itu nanti secara lebih menyeluruh bersama enam wakil rakyat BN. - BERNAMA