KUALA LUMPUR: Polis yakin dalang kes penculikan kanak-kanak warga Belanda di sini pada 27 April lalu akan kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang dikenali sebagai Jang Yin Jiang itu disifatkan polis sebagai penculik amatur yang tidak berpengalaman.
Beliau berkata, berdasarkan modus operandi kes itu, dalang terbabit adalah seorang yang tidak mempunyai perancangan teratur untuk melepaskan diri.

"Kita tunggu dia kembali. Dia akan kembali," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai Yin Jiang yang dipercayai melarikan diri ke Perancis selepas Nayati Shamelin Moodliar, 12, dibebaskan kumpulan penculiknya pada 3 Mei selepas mendapat wang tebusan RM300,000.

Kanak-kanak itu dibebaskan di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini.

Nayati diculik ketika menuju ke sekolahnya di Mont Kiara oleh dua lelaki yang menaiki kereta Proton Gen 2.

Susulan pembebasan Nayati, enam anggota kumpulan penculik itu termasuk seorang wanita, berumur antara 19 dan 40 tahun, ditahan polis manakala Yin Jiang melarikan diri.
Ku berkata, polis turut merampas Proton Gen 2 milik seorang anggota kumpulan penculik itu yang dipercayai menggunakan nombor plat palsu.

Katanya, kereta itu dirampas sebelum sempat dicat untuk mengelirukan pihak berkuasa, dan ia kini berada di Balai Polis Jalan Travers.

Menurut sumber polis, Yin Jiang berkahwin dengan isterinya sejak setahun lalu dan mempunyai seorang cahaya mata.

Ketika melarikan diri ke luar negara, Yin Jiang memujuk isterinya untuk berbulan madu ke Eropah tetapi isterinya mengesyaki sesuatu apabila mereka kerap bertukar hotel di Perancis sehingga timbul pertelingkahan.

"Yin Jiang memberi Euro 100 kepada isterinya sebelum meninggalkan wanita itu. Isterinya kemudian menelefon anggota keluarganya di sini untuk meminta mereka membelikan tiket penerbangan untuk pulang," kata sumber itu.

Sekembalinya ke Malaysia, isteri Yin Jiang membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers pada Rabu lalu. - BERNAMA