Laman Utama » Rencana

Politik pembangunan asas kejayaan Sarawak

Share |
Oleh Hassan Omar

2011/03/25
Abdul Taib ingatkan pemimpin, jentera BN usah gentar hadapi politik persepsi pembangkang

SEMALAM, sehari selepas tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa parti politik baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang sibuk mengadakan mesyuarat pada peringkat parti.

Biarpun persiapan awal sudah lama dibuat dengan kebanyakan parti bersiap sedia sejak tahun lalu lagi, paluan gendang oleh SPR kelmarin, sudah mengesahkan tarikh pertarungan sebenar di kalangan parti politik yang berminat untuk bertanding dengan tarikh 6 April ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan 16 April sebagai hari pengundian. Pada 16 April ini, seramai 979,796 pengundi di Sarawak akan menunaikan tanggungjawab untuk menentukan wakil rakyat pilihan mereka di 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan yang akan memerintah Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi. Pengumuman Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kelmarin, seharusnya melegakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pembangkang untuk memantapkan jentera parti masing-masing.

Tempoh berkempen selama 10 hari, disifatkan Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai memadai untuk setiap parti yang bertanding melaungkan slogan perjuangan masing-masing.

PBB akan berusaha memastikan 35 kerusi yang ditandinginya kekal milik BN. Begitu juga dengan parti komponen BN, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang bertekad untuk memastikan kerusi diperuntukkan kepada parti masing-masing tidak terlepas ke tangan pembangkang, terutama DAP.

Dengan keseluruhan 1,749 pusat mengundi yang mengandungi 2,606 saluran mengundi, semua parti yang mengambil bahagian dalam PRN Ke-10 menghadapi tugas cukup berat untuk meyakinkan pengundi di kerusi yang bakal ditandingi.
Bagi PBB, 35 kerusi yang disapu bersih pada PRN Ke-9 pada Mei 2006 harus dipastikan kekal milik BN, manakala SUPP akan mencuba merampas semula sembilan kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang, selain memastikan 11 kerusi yang dimenanginya tetap menjadi milik BN.

Bagi PRS, selain mengekalkan lapan kerusi yang dikuasainya pada PRN Ke-9, ia juga menghadapi tugas penting untuk merampas semula kerusi Ngemah yang dikuasai calon Bebas, Gabriel Adit Demong.

SPDP pula pastinya tidak rela jika lapan kerusi yang ditaklukinya pada PRN Ke-9 terlepas kepada pembangkang.

Namun, dengan meneliti penekanan dibuat Abdul Taib ketika berucap pada Konvensyen BN negeri awal bulan ini, iaitu amat penting untuk jentera BN menyusun strategi menewaskan serangan pembangkang yang mempraktikkan politik persepsi bersifat propaganda, jentera BN tidak boleh memandang rendah kemampuan jentera pembangkang.

Bagi pemimpin berusia 74 tahun itu, politik persepsi bukanlah perjuangan politik asli. Beliau sendiri mengasaskan politik pembangunan yang berjaya membawa perubahan besar kepada Bumi Kenyalang sekali gus membawa keluar rakyat Sarawak daripada himpitan kemiskinan satu ketika dulu.

Pemimpin yang lebih dikenali panggilan Pehin Sri itu menjelaskan, BN tiada senjata lain selain menjelaskan kepada rakyat mengenai politik pembangunan yang bukan setakat mengeluarkan kebanyakan anggota masyarakat daripada kemiskinan dan kesukaran hidup, malah meletakkan Sarawak pada landasan kukuh untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang memberi fokus kepada penggunaan secara optimum kekayaan sumber tenaga asli di negeri ini menerusi pembangunan industri berasaskan tenaga, bakal melonjakkan lagi ekonomi Sarawak dan menyediakan lambakan peluang pekerjaan.

Pertembungan antara politik pembangunan dengan politik persepsi sememangnya akan terus berlanjutan dalam setiap pilihan raya tidak kira sama ada pilihan raya kecil, negeri atau umum. Sementara pemimpin dan jentera BN terpaksa berhempas pulas menjelaskan mengenai pelbagai program pembangunan, pembangkang pula mengambil kaedah mudah untuk mempengaruhi pengundi dengan sekadar membuat tohmahan, dakwaan dan tuduhan yang bagi mereka, tidak perlu disandarkan kepada bukti atau fakta sahih.

Namun, Abdul Taib mengingatkan pemimpin dan jentera BN pada peringkat akar umbi supaya tidak gentar menghadapi politik persepsi bersifat propaganda pembangkang. Rekod perkhidmatan BN sepanjang menguasai kerajaan negeri adalah sandaran sahih hasrat BN meningkatkan taraf hidup rakyat dan ia harus terus dijadikan bahan untuk meyakinkan pengundi betapa BN tidak ada hasrat lain, selain menyediakan kehidupan lebih baik untuk rakyat.
Artikel Lain