Penulis harus akui terpaksa membawa masuk beberapa karya untuk telaah dan penelitian peribadi. Alasannya, sesetengah peraturan dan hukum hidup di negara kita masih terbelenggu dengan kekangan lama. Bukan semua hasil kreatif dan intelek boleh beredar dalam masyarakat. Halangan agama, adat, prejudis dan sensitiviti kaum sering dijadikan alasan menghalang karya tersebar.

Ada alim seni dan agama menjadi hakim menentukan karya boleh diedar secara bebas, sekali gus menentukan sama ada karya yang dianggap haram dan tabu. Mereka seolah-olah penentu dosa dan pahala karya. Mereka sepatutnya membezakan antara penelaah seni dengan peminat karya.
Penelaah sentiasa mengkaji karya dan kemungkinan yang terdapat di sebalik jalinan plot dan tema. Peminat pula lazimnya tergolong dalam kalangan karya popular yang sentiasa melihat seni sebagai wahana hiburan semata-mata.

Novel The Satanic Verses karya Salman Rushdie yang diterbitkan pada 1988 mengocakkan seluruh dunia. Isunya Rushdie menghina Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam.

Pemimpin agama Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (17 Mei 1900 - 3 Jun 1989) memberi arahan bunuh terhadap Rushdie yang dianggap murtad dan merosakkan akidah manusia. Beberapa ulama dan ahli sebuah parti politik tempatan pula kecoh memperkatakan The Satanic Verses walaupun mereka mungkin tidak mengenalinya sebelum itu.

Pandangan umum adalah sesebuah karya dianggap haram kerana isu agama semata-mata. Mereka lupa menjadikan seni analisis sebagai landasan untuk mengkaji karya. Ada yang menilai isu dari sudut tertentu dan menafikan pandangan lain. Pengkaji seni pula menganalisis karya berdasarkan sistem tanda dan isyarat. Mereka tidak melihat sudut agama semata-mata, bahkan menilai karya sebagai sebuah dunia tersendiri.

Membelakangi tradisi pengkajian bakal melahirkan golongan malas berfikir. Ia tidak selaras bagi bangsa yang mendakwa sudah merdeka. Sikap ini melahirkan kalangan jumud yang sukar menerima pandangan di luar pemikiran perdana.
Penulis membeli The Satanic Verses ketika berkesempatan ke Asia Barat pada 1989. Ketika itu beberapa kenalan membelinya di Hong Kong, Bangkok dan Singapura yang tidak sensitif mengenai isu agama.

Prof Madya Dr Abdullah Tahir berbangga kerana memiliki fotostat The Satanic Verses yang diperoleh menerusi seorang teman yang rapat dengan pimpinan negara ketika itu. Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri A Samad Ismail meminjam The Satanic Verses daripada penulis yang ketika itu menjadi pelajarnya di sebuah syarikat penerbitan.

Reaksi Samad amat menarik. Beliau tidak hairan The Satanic Verses dianggap melampau kerana banyak sasterawan Malaysia sudah menelaah cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin.

Sehingga kini isu hak cipta dan kebebasan kreatif menjadi perdebatan umum di Jakarta. Ada sarjana yang meragui penulis sebenar Langit Makin Mendung yang diterbitkan Majalah Sastra, pada Ogos 1968. Ada yang mendakwa Ki Panji Kusmin tidak wujud. Ia jelmaan penulis lain. Mungkin WS Rendra, mungkin juga Pramoedya Ananta Toer. Ada yang mendakwa penulisnya seorang komunis kerana latar belakang karya ketika kemuncak Perang Dingin.

Sehingga kini misteri insan bernama Ki Panji Kusmin menjadi rahsia umum. Penulis menemui cerpen ini di Jakarta yang dimuatkan dalam sebuah kajian pengkritik terkenal Indonesia, HB Jassin (Hans Bague Jassin, 13 Julai 1917 11 Mac 2000).

Keadaan sama berlaku terhadap beberapa filem besar arahan Steven Spielberg. Karyanya amat dicurigai semata-mata beliau seorang Yahudi. Namun, peminat seni di Malaysia bertuah kerana dapat menonton Saving Private Ryan dan The English Patient yang suatu ketika amat dicurigai pegawai Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Bagaimanapun nasib karyanya, Schindlers List (1993) agak malang kerana isu Perang Dunia Kedua dan penindasan terhadap Yahudi oleh Adolf Hitler dianggap agenda Zionis. Penulis memperoleh cakera video digital (DVD) Schindlers List pada 2011 di Bandung, iaitu selepas 18 tahun filem ini ditonton dan dinilai peminat dan pengkaji seni seluruh dunia!

Kini filem Innocence of Muslims hangat diperkatakan hingga Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stenvens dibunuh 12 September lalu. Lesen kreatif sekali lagi mencabar kewarasan beragama. Mampukah manusia kreatif bersikap waras kepada agama?