Kuala Lumpur: Proaspirasi (Pro-A) memenangi 289 daripada 291 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) di empat universiti, semalam.
Pesaing utamanya, Promahasiswa (Pro-M) hanya memenangi dua kerusi di kawasan Fakulti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Bekas YDP tewas
Bagaimanapun, bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Hafiz Ariffin gagal mempertahankan jawatannya apabila tewas kepada muka baru, Dayang Wafiqah Abang Jama'aludin, 20.
Di SHAH ALAM, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata semua calon yang bertanding di universiti itu adalah Pro-A kerana Pro-M tidak pernah bertanding.
Sehubungan itu, beliau berkata semua 226 kerusi yang dipertandingkan dikuasai wakil Pro-A, sama ada menang tanpa bertanding atau pertandingan sesama sendiri.
Ada usaha sabotaj
Di KANGAR, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, berkata biarpun pihak universiti tidak membenarkan pertandingan antara Pro-A dan Pro-M, namun ada cubaan pihak luar, termasuk graduan universiti itu yang dikesan hadir untuk mencetuskan sabotaj dengan cuba menerapkan unsur pengaruh Pro-M.
Katanya, bagi pilihan raya kali ini sebanyak 31 kerusi dipertandingkan iaitu sembilan kerusi umum dan 22 kerusi Pusat Pengajian.
“Di UniMAP kita tidak membenarkan pelajar mewujudkan kumpulan Pro-A ataupun Pro-M kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan semua calon bertanding atas tiket individu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan PRK UniMAP di Kolej Kediaman UniMAP Wang Ulu, di sini, semalam.
Di DURIAN TUNGGAL, semua calon yang dikaitkan Pro-A memenangi tujuh kerusi umum yang dipertandingkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Pengumuman keputusan pilihan raya disempurnakan Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Marizan Sulaiman yang turut disaksikan Naib Canselor universiti itu, Prof Dr Ahmad Yusoff Hassan.
PRK di 16 IPTA Selasa ini
Sementara itu, baki 16 lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mengadakan PRK masing-masing bagi mengisi jawatan kepemimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Selasa ini.
