KONSENSUS di Parlimen Batu Sapi bagaikan menjurus kepada kemenangan Barisan Nasional (BN), tetapi ada juga meramalkan Parti Maju Sabah (SAPP) boleh membuat kejutan, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun dianggap bukan ancaman besar, berupaya mencuri undi kedua-dua calon itu khususnya di kawasan Bumiputera Islam.
Bagaimanapun, nasib calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, yang dicabar Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, 52, dan Ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah, 56, berada di tangan 25,582 pengundi yang turun mengundi hari ini. Keputusan dijangka diketahui sekitar jam 8 malam ini.
Pilihan raya kecil Parlimen itu diadakan selepas kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada BN, akibat kemalangan motosikal di Kota Kinabalu pada 9 Oktober lalu. Mendiang mewakili kerusi ini sejak pilihan raya umum 2004.
Linda Tsen, balu mendiang Chong dan Naib Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala Yong, pernah menyandang jawatan Ketua Menteri Sabah antara 1996 hingga 1998. Ansari pernah bertanding lapan kali sebelum ini, tetapi tidak pernah menang.
Bagi yang mengikuti perkembangan kempen pilihan raya kecil ini dari awal, sudah pasti ada ramalan yang diyakini berlandaskan analisis masing-masing. Mungkin ada yang kata, calon BN boleh menang atas faktor bilangan pengundi Bumiputera Islam lebih ramai.
Namun, ada juga kata Yong bakal membuat kejutan sebab undi kaum Cina padu di belakangnya, selain mampu mencuri banyak undi Bumiputera Islam. Harapan Ansari pula dikata tipis, sebab dilihat sekadar sebagai ‘pemecah’ undi Bumiputera Islam.
Parlimen Batu Sapi dalam daerah Sandakan diwujudkan ketika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, mempunyai seramai 25,582 pengundi berdaftar termasuk 1,535 pengundi pos.
Mengikut pecahan kaum, ia mempunyai 15,099 pengundi Bumiputera Islam atau 59.02 peratus, manakala Bumiputera bukan Islam seramai 689 atau 2.69 peratus. Pengundi Cina pula sebanyak 9,737 atau 38.06 peratus dan lain-lain kaum, 57 pengundi atau 0.22 peratus.
Parlimen ini mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Karamunting dan Sekong. Kedua-duanya dikuasai BN. DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang, manakala Sekong oleh Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Datuk Shamsudin Yahya.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Batu Sapi dimenangi mendiang Chong dengan majoriti 3,708 undi, menewaskan calon Bebas, Dr Franchis Chung Kwong Wing. Beliau memperoleh 9,479 undi berbanding 5,771 lawannya itu.
Jika melihat data di atas, dapat dikatakan Parlimen Batu Sapi ini kubu kuat BN. BN sememangnya dilihat mempunyai peluang lebih baik dan cerah untuk terus mengekalkan kerusi ini. Kelebihan paling jelas, bilangan pengundi Bumiputera Islam di situ hampir 60 peratus.
Kecenderungan kaum ini untuk terus bersama BN masih tinggi di Batu Sapi kerana mereka masih memerlukan banyak pembangunan. Paling ketara di DUN Sekong.
Kebanyakan pengundi di sini hidup di luar bandar dan pulau yang serba kekurangan terutama dari segi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Tanyalah jentera kempen semua calon bertanding yang pernah berkunjung ke Pulau Timbang, Pulau Shanghai atau Kampung Istimewa, Kampung Sayang, Kampung Gas, Kampung Karamunting atau Lupak Meluas. Mereka pasti berkongsi cerita sama.
Sebab itu, pengundi ini sedar hanya BN boleh membantu mereka keluar daripada kepompong itu. Kawasan ini majoritinya keturunan Bajau, Suluk dan Bugis yang sejak dulu terkenal sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada parti kerajaan.
Sebutlah apa juga isu atau propaganda yang dianggap besar, dibawa dua jentera calon lawan BN di situ seperti isu hak-hak rakyat Sabah, kuasa autonomi untuk Sabah atau royalti minyak, tidak mampu menggugat kesetiaan mereka.
Selain faktor itu, kejayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman melaksanakan peranan sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN secara berkesan, terutama dalam menangani pelbagai isu dibangkitkan pembangkang yang boleh menjejaskan sokongan terhadap Tsen.
Keperibadian calon BN juga banyak membantu. Pada peringkat awal memang ada kata-kata sinis terhadap Linda Tsen seperti tidak pandai senyum, bersalam ala kadar, tidak mesra dan kurang fasih berbahasa Melayu.
Namun selepas menerima pelbagai teguran dan mendapat bimbingan mentornya, Datuk Dr Yee Moh Chai yang juga Timbalan Presiden PBS, dia segera bangkit dalam tempoh kurang 24 jam memperbaiki kekurangan itu untuk terus menawan hati pengundi Batu Sapi.