Ekonomi

PropertyGuru lancar aplikasi telefon pintar



Kuala Lumpur: PropertyGuru, peneraju laman sesawang carian hartanah di Asia melancarkan aplikasi telefon pintar, PropertyGuru App bagi carian hartanah negara ini berikutan penggunaan meluas peranti telefon pintar.

Ketika ini, kaji selidik syarikat telekomunikasi mendapati ada 32 juta akaun perkhidmatan telefon mudah alih di Malaysia dan hampir 70 peratus daripadanya menggunakan telefon pintar.

PropertyGuru App kini sudah boleh dimuat turun pengguna secara percuma ke dalam telefon pintar menggunakan platform iPhone atau Android.

Pengurus Negara HomeGuru Sdn Bhd, John Paul Sta Maria, berkata penggunaan telefon pintar bersama kemudahan internet mudah alih digunakan hampir majoriti rakyat negara ini.

“Justeru, ia adalah peluang amat baik bagi kami memperluaskan dan memperkukuh perkhidmatan sebagai laman carian hartanah terkemuka dalam internet menerusi wadah peranti telefon pintar.

“Kami memperuntukkan hampir RM1 juta untuk kegiatan promosi aplikasi ini selain dalam tempoh enam bulan akan datang, serta menambah baik kegunaannya sejajar dengan maklum balas pengguna tempatan,” katanya selepas taklimat media mengenai PropertyGuru App di sini, semalam.