UMNO 2012
menu Muka Depan Terkini Berita Rencana Foto Video

Proses, keputusan pemilihan penentu perubahan UMNO

Walaupun senarai rasmi calon bagi pemilihan kepemimpinan UMNO 2013 hanya akan diumumkan esok, tiada lagi kejutan atau perubahan besar dijangka berlaku daripada apa yang sudah diketahui umum selepas proses pendaftaran calon berakhir kelmarin.

Seperti dijangka, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO walaupun ada desas-desus sebelum ini kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin sekali lagi mencuba nasib untuk menjadi Presiden UMNO.

Kemenangan tanpa bertanding bagi dua pemimpin tertinggi itu, selain menunjukkan tradisi tertentu UMNO masih diteruskan, juga membayangkan kepercayaan ahli kepada mereka untuk meneruskan proses transformasi dan pengukuhan parti supaya terus kekal sebagai tonggak pemerintahan negara. Seperti kebiasaan pemilihan UMNO apabila jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan, perhatian tertumpu kepada perebutan tiga kerusi naib presiden serta ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Perebutan bagi jawatan Naib Presiden UMNO menyaksikan penyandang - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir serta bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Kehadiran Mukhriz satu kejutan

Sementara Mohd Ali Rustam dan Mohd Isa Samad mempunyai sejarah mereka tersendiri dalam perebutan jawatan itu, yang mungkin mengurangkan kemampuan mereka untuk memberi cabaran sengit, kehadiran Mukhriz dijangka boleh menggugat kedudukan tiga penyandang. Siapa antara ketiga-tiganya yang paling tergugat pastinya menarik perhatian.
Turut menjadi tumpuan ialah perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO yang disandang oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kejutan saat akhir oleh Exco Wanita UMNO, Senator Datuk Maznah Mazlan yang menawarkan diri sebagai calon setengah jam sebelum tempoh tamat, mewarnai suasana proses pendaftaran calon kelmarin.

Kehadiran Maznah menjadikan kerusi nombor satu sayap terpenting UMNO itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Seorang lagi calon ialah ahli seumur hidup UMNO, Raihan Sulaiman Palestin.

Dalam sejarah pertandingan UMNO, apabila ramai calon untuk satu jawatan, peluang penyandang mempertahankannya lebih cerah. Kerana itu, ramai berpendapat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempunyai kelebihan walaupun menghadapi saingan lima penjuru bagi kerusi Ketua Pemuda.

Empat lagi calon bagi jawatan itu ialah Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail; Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd Karim Ali; serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak Khalid Izhar.

Pemilihan Puteri tertib

Perebutan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, walaupun menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyanti Shamsudin dan Ketua Puteri Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, kurang menagih perhatian. Selain mereka sayap termuda dalam UMNO dan mungkin juga masih baru dalam politik, pemilihan Puteri secara umumnya sentiasa tertib serta tiada taktik kotor seperti berlaku dalam sayap ‘abang’, ‘ibu’ dan ‘bapa’ mereka.

Satu antara aspek positif pemilihan UMNO kali ini, pertama selepas pindaan perlembagaan parti 2009 untuk menjadikannya lebih demokratik ialah ramai muka baru menawarkan diri untuk merebut jawatan ketua bagi 191 bahagian UMNO di seluruh negara, yang bakal diadakan serentak bulan depan.

Berbeza dengan pemilihan sebelumnya yang menyaksikan jarang tokoh terkenal serta menteri besar atau ketua menteri dicabar pada peringkat bahagian, ia tidak lagi berlaku sekarang. Perkembangan ini harus dilihat secara positif kerana ramainya kalangan profesional dan muda berminat memimpin parti pada peringkat akar umbi bermakna UMNO masih lagi menjadi pilihan generasi muda untuk memperjuangkan kepentingan bangsa.

Selain menjadikan pemilihan parti lebih demokratik dan menarik lebih ramai generasi muda menyokong UMNO, pindaan perlembagaan 2009 juga bertujuan mengurangkan politik wang, yang sudah menjadi barah dalam parti.

Sama ada matlamat itu boleh dicapai atau apakah terutama perwakilan yang mengundi benar-benar mahu parti berubah, hanya akan terjawab pada pemilihan ini. Dalam erti kata lain, perjalanan pemilihan dan keputusannya nanti bakal menentukan sama ada UMNO masih mampu mengekalkan kejayaannya memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya umum akan datang.
Ucapan penggulungan Presiden UMNO - Bahagian 1