JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) ingin merujuk kepada laporan bertajuk ‘Dua tiada sijil lahir gagal ke sekolah’ yang disiarkan edisi Utara 18 Mac lalu, berkaitan isu dakwaan pengadu mengenai dua anaknya yang tidak memiliki sijil kelahiran.

Untuk makluman, pengadu, Mardiana Abd Kadir pernah hadir ke JPN Bukit Mertajam bagi mendapatkan maklumat mengenai proses pendaftaran lewat kelahiran anaknya. JPN memberi penjelasan dan menyerahkan borang serta senarai semak daftar lewat kepada pengadu untuk dilengkapkan sebelum mengemukakan permohonan daftar lewat itu.
Hasil siasatan mendapati pengadu menghadapi masalah membabitkan sijil perkahwinan yang masih belum didaftarkan di Malaysia. Pengadu hadir semula ke JPN Bukit Mertajam pada 15 Mac lalu, bagaimanapun masih gagal melengkapkan dokumen diperlukan. JPN dimaklumkan bahawa beliau hanya mempunyai salinan sijil nikah dari Wilayah Songkla, Thailand.

Beliau sudah dinasihatkan agar mendapatkan surat pengesahan pernikahan terlebih dulu daripada Konsulat Jeneral Malaysia Wilayah Songkla, Thailand bagi membolehkan nama bapa dicatatkan dalam sijil kelahiran anak beliau.

Pendaftaran kelahiran tetap boleh dilakukan, walaupun beliau belum mendapat pengesahan sijil nikah. Bagaimanapun pada sijil lahir terbabit tidak akan dicatatkan maklumat bapa.

Sehubungan itu, mohon kerjasama pengadu mengemukakan dokumen berkaitan kelahiran berkenaan bagi membolehkan pendaftaran kelahiran anaknya diproses.

Untuk maklumat lanjut, pengadu boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan/Tetamu, Ibu Pejabat JPN Putrajaya di talian 03-88807077/7071/7067/7069/8206 atau menerusi e-mel pro@jpn.gov.my.
JAINISAH MOHD NOOR,
Pegawai Perhubungan Awam JPN, Putrajaya.