login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Jumaat , 01 Ogos 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Sihat
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Punca sakit leher, belakang
Oleh Suzan Ahmad

2010/06/06

  
  • Foto

    Kira-kira 80 peratus orang dewasa pernah alami sakit leher dan belakang.

  • Foto

    Aktiviti mengangkat barang boleh memberi kesan kepada bahu.

  • Foto

Selain bebanan pada tubuh, masalah ini juga boleh disebabkan saraf tunjang, paru-paru dan abdomen tidak normal

DIANGGARKAN 80 peratus orang dewasa pernah mengalami masalah sakit belakang dalam kehidupan mereka dan kira-kira 50 peratus pula mengalami sakit leher atau sakit tengkuk.

Malah, sakit belakang dan sakit tengkuk atau leher adalah kesakitan paling lazim yang memaksa pesakit bertemu doktor, selain menjadi penyebab utama kecacatan, meninggalkan kerja dan membabitkan kos penjagaan kesihatan yang tinggi.
Secara perubatan, leher dan bahu terdiri daripada otot, tulang, saraf, arteri dan salur darah, begitu juga ligamen dan struktur sokongan lain. Banyak keadaan yang boleh menyebabkan sakit leher dan belakang khususnya kawasan sekitar bahu. Ada yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan trauma serta keadaan lain seperti bebanan.
Perlu diketahui, antara tabiat buruk menyebabkan sakit belakang:
  • Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu.
  • Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja.
  • Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat.
  • Berdiri terlalu lama.
  • Membawa barang yang beratnya tidak seimbang.
  • Duduk membongkok di kerusi.
  • Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin.
  • Memakai kasut bertumit tinggi.


Ahli Fisioterapi Hospital Pakar KPJ Tawakal di ibu negara, Siti Suraiya Yusa, berkata kajian menunjukkan kebanyakan masalah tulang belakang boleh dicegah kerana ia berlaku akibat mekanikal tubuh dan postur atau kedudukan yang tidak baik menyebabkan tulang belakang dibebani tekanan yang tidak normal.

“Tekanan tidak normal secara berlarutan boleh membawa kepada perubahan struktur tulang belakang seperti kemerosotan cakera dan sendi, pemanjangan dan pemendekan ligamen dan otot sokongan dan rawan yang haus atau terkoyak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Penyebab sakit belakang dan leher paling lazim bermula pada tisu lembut seperti otot, tendon dan ligamen dalam struktur ini. Ia berlaku akibat kecederaan yang menimpa struktur ini.

Masalah seperti Arthritis Degeneratif pada spina di leher (spina cervical) boleh mencengkam saraf dan menyebabkan leher dan bahu sakit. Penyakit cakera degeneratif pada bahu (cervical spondylosis) pula boleh menyebabkan sakit leher setempat yang tidak membabitkan kawasan lain.

Siti Suraiya berkata, keadaan tidak normal membabitkan saraf tunjang, jantung, paru-paru dan beberapa organ abdomen juga boleh menyebabkan masalah leher dan belakang.

Namun, apakah pilihan atau kaedah bagi mengelak kemungkinan mengalami masalah sakit leher dan bahu?

“Kunci utama dalam menjaga kesihatan belakang badan dan leher menumpu kepada tiga perkara iaitu belajar mempraktikkan postur yang baik, bijak menggunakan mekanik tubuh dengan baik ketika melakukan aktiviti seharian dan kerap bersenam (amalan senaman yang sesuai),” katanya.

Malah, tegas Siti Suraiya, asas penjagaan kesihatan leher dan belakang bermula dengan postur. Ini kerana kedudukan badan yang tidak betul adalah antara penyebab masalah spina dan boleh menyebabkan kesakitan sedia ada semakin teruk. Lebih serius lagi, ia juga boleh menyebabkan kesakitan menjadi lebih kronik dan sengsara berpanjangan.

Katanya, penjagaan asas postur yang baik ialah mengekalkan kedudukan tulang belakang atau spina yang neutral iaitu memastikan tiga lengkuk semula jadinya berada pada kedudukan betul.

Tiga lengkuk itu merujuk kepada lengkuk kecil pada dasar leher, bulatan kecil di tengah bahagian belakang dan lengkuk kecil di bawah belakang badan. Spina yang neutral tidak terlalu bulat ke depan mahupun terlalu melengkung ke belakang.

“Faktor utama yang mempengaruhi spina yang sihat ialah senaman. Kajian menunjukkan individu yang selalu bersenam kurang mengalami kecederaan atau sakit belakang. Kalangan individu yang gemar bersukan ini juga lebih mudah pulih daripada kecederaan yang dialami berbanding individu yang kurang terbabit dengan aktiviti fizikal,” katanya.

INFO: Petua elak sakit belakang
  • Tidur di atas tilam spring; letakkan papan di atas dasar tilam.
  • Elakkan diri daripada ketegangan yang boleh menyebabkan sakit belakang.
  • Kekalkan kedudukan susuk badan (posture) yang baik ketika duduk dan berdiri.
  • Apabila mengangkat barang, tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja.
  • Pelajari senaman yang boleh membaiki pergerakan dan kedudukan susuk badan anda.
  • Jika memandu, anda perlu berhenti dan berehat seketika atau keluar dari kereta setiap 90 minit.
  • Bagi wanita, pakai kasut bertumit rendah.
  • Luangkan sedikit masa untuk berehat dan elakkan daripada terlalu banyak membuat kerja yang membebankan untuk jangka waktu yang lama.
  • Pegang objek yang berat rapat ke badan anda.
  • Apabila duduk di kerusi, pilihlah tempat duduk yang dapat mengampu seluruh paha anda dan biarkan kaki anda lurus ke bawah dan memijak lantai atau bangku kecil dengan selesa.


Cara rawatan di rumah:
  • Tuam dengan ais atau benda sejuk di bahagian yang sakit untuk selama 15 minit. Jika ini tidak mendatangkan kesan, balut botol air panas dengan tuala dan tuamkan ke bahagian yang sakit. Jangan menggunakan haba pada hari pertama anda terseliuh atau tegang otot.
  • Berehat di atas tilam yang padat dan agak keras yang diletak di atas lantai untuk selama 24 jam. Baring mendatar dengan mengampu lutut di atas bantal.
  • Jangan mengangkat barang yang berat dan elak daripada duduk, membongkok dan memandu terlalu lama.
  • Dapatkan nasihat daripada mereka yang terlatih dalam bidang penjagaan belakang mengenai senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.
  • Dapatkan khidmat jurupulih anggota dan ahli kiropraktor untuk membantu anda mencegah kecederaan daripada berulang.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas