Seai Kie cuba menggunakan mesin jahit pada majlis penyerahan dan sesi latihan kepada penerima bantuan mesin jahit di dewan Sekolah Menengah Sultan Badlishah Kulim, semalam.
Kulim: Lebih 23,500 keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan memperoleh kemudahan bantuan melalui Program Teman 1Azam dengan peruntukan RM10 juta setakat ini.
Tingkat taraf ekonomi
“Mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, diberi kemudahan bantuan menyertai program Teman 1 AZAM yang ditawarkan Kementerian dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan keluarga miskin di negara ini.
“Antara pakej berkenaan termasuk Pakej Melur (Makanan Sejuk Beku), Pakej Cempaka (Pembuatan Kuih), Pakej Kemboja (Gerai Buah-Buahan), Pakej Mawar (Perniagaan Ice Blended) dan beberapa pakej lagi yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan mesin jahit kepada penerima bantuan Teman Akhiri Zaman Miskin (1Azam) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, di sini, semalam.
Seai Kie berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu wanita terbabit memulakan atau mengembangkan lagi usaha mereka dalam bidang jahitan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kali ini semua penerima bantuan diberi latihan menggunakan mesin jahit oleh wakil syarikat pembekal dalam masa tiga hari untuk memastikan mereka faham serta mahir menggunakan mesin itu nanti,” katanya.
Masih Senator
Sementara itu, Seai Kie menafikan khabar angin bahawa tempoh perkhidmatannya sebagai Senator sudah ditamatkan minggu lalu.
Katanya, ia berikutan kekeliruan sesetengah pihak yang menganggap majlis perpisahannya yang diadakan di Dewan Negara minggu lalu sebagai hari terakhirnya sebagai Senator, sedangkan tempoh perkhidmatannya hanya akan tamat pada 16 November depan.
“Saya masih anggota Kabinet dan saya juga masih lagi seorang senator sehingga 16 November nanti,” katanya.