RM2.4b hangus jika tak jadi bina loji
Gagal bangunkan LRAL2 punca air tak dapat disalur

Hulu Langat: Sejumlah RM2.4 bilion yang dibelanjakan setakat ini untuk Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) bakal menjadi belanja ‘hangus’ jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) tidak dilaksanakan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata projek itu yang dimulakan pada Jun 2009, kini sudah 53 peratus siap membabitkan pembinaan terowong sepanjang 30 kilometer (km) daripada keseluruhan 44.6 km, manakala selebihnya dijangka siap 2014.

“Inilah susahnya bila kerajaan Pusat dan negeri tak sama. Mereka juga tidak pernah datang dan tengok sendiri pembinaan (PPAMPS) dan tapak LRAL2, jadi macam mana dia nak faham,” - Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

Punca air tak disalur

Katanya, kegagalan membangunkan LRAL2 menyebabkan air dari Pahang tidak dapat disalurkan ke loji untuk dirawat sebelum diagihkan ke kawasan perumahan sekitar Lembah Klang, sekali gus bakal menimbulkan krisis air teruk di beberapa kawasan termasuk Hulu Langat, Beranang dan Semenyih.

“Sebab itu kita tanya, apa asas kerajaan negeri (Selangor) tolak pembinaan loji ini, kerajaan Pusat sudah putuskan ia akan tetap dilaksana, bahkan tender pembinaannya juga akan dibuat secara terbuka.

Salah faham
“Inilah susahnya bila kerajaan Pusat dan negeri tak sama. Mereka juga tidak pernah datang dan tengok sendiri pembinaan (PPAMPS) dan tapak LRAL2, jadi macam mana dia nak faham,” katanya semasa melawat tapak projek terowong Loji Langat 2 di Batu 20, Kampung Padang di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Noriah Kasnon; Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz serta ADUN Dusun Tua, Ismail Sani.

Pada 22 November 2007, Selangor dan Pahang memeterai perjanjian pemindahan air mentah dari Pahang ke Selangor dengan kadar harga 10 sen bagi setiap liter padu.