Berbanding pinjaman lain yang dikenakan faedah serta tempoh bayaran singkat, skim yang akan bermula Januari ini dijangka dikecualikan kadar faedah dengan tempoh bayaran selama sembilan tahun.
Kita sudah berbincang dengan UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan secara prinsipnya, mereka sudah bersetuju supaya faedah tidak dikenakan ke atas pinjaman ini dan kita sedang menunggu surat pengesahan.
Selain itu, walaupun pinjaman ini diuruskan Bank Rakyat, tapi yuran pengurusan akan dipindahkan kepada UKAS kerana tidak mahu membebankan peniaga terutama penjaja, katanya selepas merasmikan Konvensyen Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional di sini, semalam.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Tian Lian Hoe, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Saripuddin Kasim dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani. Hampir 3,000 penjaja dan peniaga kecil menghadiri konvensyen selama sehari itu.
Katanya, KPDNKK juga memperuntukkan RM7 juta bagi membolehkan penjaja dan peniaga kecil yang terpilih memperbaiki dan menaik taraf premis perniagaan mereka.
Beliau berkata, peruntukan itu disediakan melalui Program Penjaja 1Malaysia (PP1M), selain geran bernilai RM4 juta untuk aktiviti persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bermula tahun depan.
Selain itu, katanya, lebih 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar akan menerima manfaat skim Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) bermula Januari tahun depan dengan kadar premium tahunan berjumlah RM10.60 ditanggung sepenuhnya kerajaan.
