Laman Utama » Sarawak
'RM5 bilion bangunkan Sarawak'
SHAFIE (tengah) bersama Nancy (kanan) dan Aidil (dua dari kiri) bermesra bersama penduduk selepas selepas melancarkan BELB di Kampung Rangawan, Sadong Jaya, semalam.
Peruntukan bagi kemudahan asas usaha kerajaan tingkat taraf hidup rakyat
ASAJAYA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM5 bilion di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sarawak, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, kebanyakan projek yang membabitkan kemudahan bekalan elektrik, air dan jalan raya itu dilaksanakan di luar bandar dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan terbabit.
Katanya, kerajaan tidak pernah mengetepikan penduduk luar bandar dan ini dibuktikan dengan pelbagai projek pembangunan di kawasan terbabit di seluruh negara.
“Malah, kerajaan turut me-nyediakan peruntukan sebanyak RM13,500 sehektar bagi setiap penduduk yang melaksanakan projek tanam semula getah dan sawit,” katanya selepas melancarkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Rangawan, Sadong Jaya, di sini semalam.
Projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu membabitkan penyambungan bekalan elektrik di 278 rumah di kampung berkenaan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya, Aidil Lariwoo.
Terdahulu, Shafie yang juga Naib Presiden UMNO meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk di Kampung Terasi dan Kampung Jaei di sini.