Shah Alam: Sikap jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang sering mengulangi pendiriannya bahawa keputusan aksi persahabatan tidak begitu penting berbanding perlawanan sebenar nampaknya semakin memakan diri.

Kini sepak mula Piala Suzuki AFF 2012 hanya berbaki sembilan hari dan skuad Harimau Malaya terus tertekan dalam misi mempertahankan kejuaraan selepas sekadar seri 11 dengan pasukan ranking ke172 dunia, Hong Kong di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Ia menyaksikan skuad kebangsaan kini hanya menang sekali dalam lima aksi persahabatan antarabangsa terakhir, selebihnya tewas tiga kali kepada Vietnam 02 di Shah Alam dan 01 di Hanoi serta Thailand 02 di Bangkok.

Lantas harapan terakhir kini hanyalah untuk meraih kemenangan moral bertemu Bangladesh, ranking ke-171 dunia di Stadium Shah Alam, Selasa ini selepas barisan 26 pemain negara merehatkan seketika fikiran di Pulau Pangkor, Perak selama tiga hari bermula hari ini.

“Saya masih ada Ahmad Hazwan Bakri, Zaquan Adha Radzak dan Ahmad Fakri Saarani yang akan diturunkan bertemu Bangladesh nanti. Apapun, kita tak boleh main seperti ini lagi.

Tahap kepantasan dan agresif pemain perlu berbeza.

“Memang keputusan seri ini cukup mengecewakan. Selepas jaringan Safee Sali, kita patutnya teruskan rentak tetapi itu tidak berlaku. Tapi bagus juga untuk pemain semua sedar yang Piala Suzuki AFF bukan senang. Mereka perlu kerja lebih keras.
“Bertemu Bangladesh, tiada lagi alasan kerana ia aksi persahabatan terakhir. Kita benar-benar kena bangkit dan perlu betul-betul bersedia untuk menghadapi saingan sebenar Piala Suzuki AFF,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan.

Jaringan Safee pada minit ke57 dipadam pemain gantian Hong Kong, Lam Hok Hei, tiga minit sebelum perlawanan berakhir hasil kesilapan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Radzak dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Mengulas insiden itu, kata Rajagobal: “Kemungkinan seperti ini memang sentiasa berlaku biarpun di kalangan pemain berpengalaman.

Khairul Fahmi tak patut beri bola sedemikian dan Aidil pula perlu sentiasa dalam keadaan bersedia.”