SHAH ALAM: Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A Prakash bersama 30 individu sekali lagi mengadakan bantahan aman di depan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, berhubung kegagalan kerajaan negeri memenuhi janji Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Prakash berkata, bantahan dibuat selepas memorandum yang dihantar kepada kerajaan negeri pada 3 Jun lalu tidak mendapat maklum balas daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahupun EXCO yang bertanggungjawab.
Katanya, pihaknya kecewa kerana memorandum menuntut kebajikan kaum India dibela, tidak dipedulikan.


“Bantahan pagi ini (semalam) hanya untuk menuntut janji pakatan pembangkang ketika mahu mendapatkan sokongan rakyat bagi mentadbir Selangor.

“Malangnya, selepas empat tahun mentadbir, kerajaan pakatan pembangkang tidak mengambil peduli kebajikan kaum India selain gagal menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

Memorandum bantahan dan ketidakpuasan hati kaum India di negeri ini disampaikan kepada wakil pejabat Menteri Besar kira-kira jam 11 pagi selepas hampir sejam menunggu di luar bangunan itu.

Selain itu, katanya, pihaknya mempersoalkan tindakan peniaga warga asing mendirikan kedai di tepi jalan sewenang-wenangnya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah ‘tidur’ kerana tidak mengambil sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu berbanding jika ia dilakukan rakyat tempatan.

“Rakyat Selangor yang mahu berniaga perlu mematuhi pelbagai syarat yang ketat sedangkan rakyat asing mudah untuk berniaga. Apakah keistimewaan mereka sedangkan nasib rakyat sendiri tidak terbela,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan bantahan secara aman dari semasa ke semasa jika kerajaan negeri terus berdiam diri.