Kuala Lumpur: Sukan Malaysia (SUKMA) yang diperkenalkan sejak 1986 tidak dinafikan mampu melahirkan atlit berpotensi, tetapi hakikatnya ramai yang lenyap sebelum diketengahkan di persada antarabangsa.

Ini berikutan sebahagian besar daripada atlit terbabit memutuskan untuk ‘bersara awal’ sebaik temasya berakhir dengan alasan mahu memfokuskan kepada pelajaran sekali gus mensia-siakan bakat mereka dan merugikan negara.
Contoh terbaik atlit cemerlang bersara awal ialah bintang sensasi Bumi Kenyalang, Tania Bugo yang menggegar laman sendiri pada 1990 dengan meraih 13 emas - pemenang emas terbanyak dalam sejarah temasya yang hingga hari ini belum ada atlit lain mampu mengatasi pencapaian itu.

Situasi itu diakui Majlis Sukan Negara (MSN) dan ia satu kerugian kepada sukan negara andai bakat berpotensi yang lahir daripada SUKMA memutuskan untuk ‘bersara awal’.

Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin, berkata untuk SUKMA XV Pahang yang baru berakhir, Isnin lalu, pihaknya juga masih belum menerima senarai penuh atlit cemerlang untuk disenaraikan dalam atlit pelapis.

“Masalah ini selalu terjadi (atlit menolak tawaran menyertai skuad pelapis). Antara sebab yang diberikan adalah kurang selesa, tidak biasa berjauhan dengan keluarga dan mahu melanjutkan pelajaran.

“Ini merugikan sukan negara andai bakat berpotensi di kejohanan berkenaan bertindak untuk ‘bersara awal,” katanya, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga hairan kerana kebanyakan atlit cemerlang terbabit memberi alasan mahu melanjutkan pelajaran, sedangkan pihaknya ada menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi peluang kepada mereka mendapat keputusan baik dalam akademik.

Sementara itu, pemenang tujuh pingat emas acara menembak, Mohamad Muhaithir Johari sendiri mengakui dia kini bingung memikirkan masa depannya sama ada memilih ke MSN atau pun menyambung pelajarandi Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

“Sekarang ini saya tidak ada apa-apa keputusan lagi dan sedang fikir pilihan terbaik. Sebelum ini memang saya pilih untuk meneruskan pengajian tetapi selepas tamat SUKMA, ibu bapa saya mahu saya pergi ke MSN,” katanya