PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Umur Persaraan Swasta bagi menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata draf itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diperhalusi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 kepada 636 warga kementerian itu bagi pihak Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, di sini hari ini.


Pada masa ini, tiada peruntukan khas mengenai persaraan wajib bagi sektor swasta.

Di bawah undang-undang yang sedang digubal itu, seorang pekerja hanya akan bersara wajib apabila mencapai umur 60 tahun dan jika khidmatnya masih diperlukan, tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan selama empat tahun lagi.

Sementara itu, mengulas perkara berkaitan, Maznah berkata gaji minimum sektor swasta akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 30 April ini di sini.

Mengulas perkara berbeza, Maznah berkata sebanyak 487,000 peluang pekerjaan diwujudkan di bawah transformasi ekonomi negara sejak 2008 dalam bidang kemahiran tinggi, separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap beban hidup rakyat juga tidak terhenti setakat menawarkan peluang pekerjaan kerana secara keseluruhannya kerajaan memberi subsidi sebanyak RM21 bagi sebuah keluarga setiap hari.

"Purata barangan subsidi bagi satu keluarga bagi barangan minyak, beras, gula ialah dalam RM14. Dari segi petrol dan gas pula ialah RM7 bagi satu keluarga. Jadi purata subsidi bagi satu keluarga dalam sehari ialah RM21, sebulan di antara RM500 hingga M600. Ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan," katanya. - BERNAMA