Rasulullah tokoh pendidik berwawasan BH Online

Rasulullah tokoh pendidik berwawasan

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
2012/05/16

Baginda kreatif dalam menyampaikan ilmu, lahirkan generasi cendekiawan unggul

ISLAM menekankan kepentingan menuntut ilmu sebagai bekalan dan panduan hidup. Tanpa ilmu, manusia akan dibelenggu kejahilan lantas pembangunan tamadun manusia pasti akan menuju kegagalan.

Lantaran itulah konsep iqra menjadi nadi dan tunjang utama kejayaan peradaban insan seluruh dunia. Jika tidak, masakan ayat pertama diturunkan Allah kepada rasul-Nya berkaitan galakan membaca.

Islam meletakkan darjat sangat tinggi buat golongan pendidik, lantaran tugas mulia itu telah dipelopori lebih awal oleh Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan daripada kalangan ummiyyin seorang rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya dan menyucikan mereka serta mengajar mereka kitab al-Quran dan hikmah (al-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah, ayat 2)

Sebagai tokoh pendidik berwawasan jauh, Baginda lebih memuliakan majlis ilmu kerana itulah falsafah diutuskan Baginda sebagai Rasul. Ini bertepatan sabda Baginda dalam hadis yang menyatakan bahawa orang alim (berilmu) itu adalah lebih afdal daripada orang yang kuat beribadat.

Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengutusku untuk menyusahkan manusia dan tidak juga untuk mencari kesilapan dan keaiban orang lain, tetapi sesungguhnya Allah mengutusku adalah sebagai guru untuk memudahkan urusan manusia.”

Nabi Muhammad SAW amat kreatif terutama dari sudut metodologi penyampaian, uslub pengajaran dan teknik persembahan. Melalui kaedah inilah akhirnya membuahkan kejayaan Baginda menukar situasi kemungkaran budaya jahiliah kepada keindahan nur Islam.

Walaupun Baginda sendiri adalah ummi, tetapi Allah SWT mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan melalui tarbiah secara langsung daripada-Nya. Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah mengajarmu apa yang engkau tidak ketahui dan inilah kurniaan yang amat besar yang Allah kurniakan kepada kamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 113)

Baginda seterusnya menyebarkan ilmu dan mengajar manusia lain melalui penerangan yang menarik, pertuturan fasih dan lancar, idea bernas, perwatakan lemah lembut, sikap berlapang dada, penyayang, pengasih malah Baginda sendiri mudah mendekati dan didekati menyebabkan setiap apa disampaikan mudah diterima masyarakat.

Baginda sentiasa mempelbagaikan teknik penyampaian ilmu supaya ia berkesan bergantung kepada perbezaan tahap pemikiran dan kedudukan serta mentaliti pelajarnya. Ini supaya apa disampaikan dapat diterima baik pelajar.

Kepelbagaian kaedah penerangan supaya penuntutnya tidak jemu terhadap ilmu dipelajari. Hasilnya, terbentuklah generasi muslim yang mantap ilmunya sehingga ramai sahabat Baginda diiktiraf sebagai ulama, fuqaha dan cendikiawan Islam unggul sehingga mampu berijtihad memutuskan sesuatu hukum terhadap permasalahan berlaku.

Nama ulama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Thalib, Saidina Uthman bin Affan, Ibn Abbas, Saidatina Aisyah, Ibn. Umar, Abu Hurairah dan lain-lain adalah bekas penuntut yang menerima ilmu secara langsung daripada Rasulullah SAW.

Bekas pelajar inilah yang kemudiannya bertebaran ke seluruh pelosok dunia menyampaikan ilmu mereka terima daripada Rasulullah SAW sehingga lahir pula tokoh ilmuwan terkemuka dunia seperti imam empat mazhab Abu Hanifah, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.

Sejarah pendidikan Islam juga mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah tokoh yang telah memperkenalkan konsep pendidikan seumur hidup tanpa batasan had umur bermula seawal selepas kelahiran sehinggalah ke saat kematian.

Baginda turut menerapkan konsep menuntut ilmu tanpa membataskan jantina sama ada lelaki mahupun wanita. Sabdanya yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah suatu kefarduan kepada setiap orang lelaki dan wanita.”

Pengiktirafan Nabi SAW sebagai guru dan pendidik bermula seawal proses penurunan wahyu dan pentaulihan itu datangnya dari Allah SWT supaya setiap apa yang diterima Baginda disampaikan kepada manusia seluruhnya.

Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga adalah amalan mulia di sisi agama. Atas kepentingan itulah, sejarah memperlihatkan sepanjang dakwah Rasulullah 23 tahun di Makkah dan Madinah dipenuhi dengan penyebaran ilmu daripada Baginda kepada sahabatnya.

Apabila seseorang mengajar ilmu kepada orang lain dan kemudian orang itu mengajar pula kepada orang lain, itulah yang amat bernilai dan dikira sebagai ilmu yang dimanfaatkan.

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menunjukkan satu kebaikan kepada orang lain maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Tahukah anda kehebatan dan ketokohan Pembuka Kota Constantinople adalah berkat kesungguhan dan kehebatan didikan seorang guru?

Syeikh al-Kurani dan Syeikh Bayram adalah antara tokoh guru yang banyak membentuk Sultan Muhammad menjadi pemimpin hebat dan unggul walaupun usianya masih muda tetapi berjaya menakluk kota itu ketika berusia 21 tahun.

Ketika berusia sembilan tahun, beliau mula dididik dengan disiplin yang ketat. Ayahnya, Sultan Murda memilih guru yang diberi kebebasan untuk mendidiknya dan rotan diguna sebagai cara mendisiplinkannya.

Hasilnya Sultan Muhammad menjadi insan hebat kerana di tangannyalah kota Constantinople berjaya dibuka oleh orang Islam.

Benarlah jasa guru sangat mulia, pemimpin hebat sesebuah negara, tokoh ekonomi terkenal, sejarawan negara yang berjasa tidak lain dan tidak bukan terbentuk melalui acuan didikan guru.

  • Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia