Ratusan mayat mangsa serangan tentera Syria ditemui Sebahagian mayat rentung terbaring di Daraya, di pinggir Damsyik, mangsa serangan lima hari tentera Syria. - Foto AFP
Damsyik: Beratus-ratus mayat ditemui di sebuah bandar di luar Damsyik selepas serangan lima hari oleh tentera Syria, kata pemantau semalam ketika aktivis mendakwa tentera kerajaan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Sekurang-kurangnya 230 orang dibunuh ketika serangan balas oleh tentera kerajaan di Daraya, sebuah bandar satelit dengan 200,000 penduduk ke barat laut ibu negara, kata aktivis hak asasi, Pemerhati Hak Asasi Syria.
Jawatankuasa Koordinasi Tempatan, sebuah rangkaian aktivis di Syria menyifatkan ia sebagai pembunuhan beramai-ramai rejim di Daraya.

"Kumpulan bersenjata memasuki bandar dan melakukan pembunuhan sebelum membakar mayat mangsa”. - Jawatankuasa Koordinasi Tempatan

Bedil dengan senjata berat

“Rejim jenayah melaksanakan satu halangan dan menghalang semua bekalan keperluan ke bandar itu, sebelum membedil dengan senjata berat dan pesawat perang,” katanya.

“Selepas itu kumpulan bersenjata memasuki bandar dan melakukan pembunuhan sebelum membakar mayat mangsa.”

Aktivis menyifatkan ia sebagai serangan terhadap Daraya dalam usaha untuk menghancurkan semua pemberontakan di ibu negara selepas pemisah bersatu semula ke pinggir bandar di selatan berikutan satu serangan balas tentera di tengah bandar raya itu bulan lalu.
Laporan oleh aktivis tidak dapat disahkan kerana sekatan terhadap media yang beroperasi di Syria.

Sekurang-kurangnya 183 orang terbunuh di seluruh negara pada Sabtu dan aktivis berkata konflik kejam itu di Syria selama 17 bulan tidak menunjukkan tanda untuk berakhir berikutan kuasa dunia yang tidak bersatu.

Helikopter penyerang dan kereta kebal juga memasuki kawasan pemisah di bandar utara Aleppo di mana seorang wartawan AFP dan pemantau berkata tentera menekankan tekanan mereka terhadap pejuang yang ingin menumbangkan Presiden Bashar al-Assad.

Militan turut meletakkan satu video YouTube bertajuk Pembunuhan beramai-ramai di Masjid Abu Sleiman Addarani di Daraya menunjukkan berpuluh mayat.

Kempen kejam

Video yang tidak dapat disahkan itu turut mempunyai komen tertulis: “Satu pembunuhan beramai-ramai dilakukan kumpulan rejim Assad di Masjid Abu Sleiman Addarani. Lebih 150 orang tidak berdosa terbabit dalam kempen kejam oleh kumpulan penjenayah di bandar raya itu.”

Televisyen tempatan berkata bahawa Daraya, bandar penduduk Islam Sunnah sedang menyucikan saki baki penjenayah.

Tentera mendakwa mengambil semula kebanyakan Damsyik lewat Julai kira-kira dua bulan selepas pertempuran di kawasan selatan ibu negara itu. - AFP