Razif turut mempersoalkan adakah BAM ikhlas untuk memajukan badminton negara dalam tempoh 12 tahun itu atau sekadar mahu menutup mata peminat selepas kegagalan membawa pulang Piala Thomas dan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, bulan lalu.
Satu jawapan mudah yang pada pandangan peribadinya perkara itu diumumkan sekadar helah BAM menimbus kegagalan pengurusan apa lagi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) berhak membatalkan cadangan atau perancangan Pengurus Projek pada bila-bila masa termasuk memecatnya.
Ingin tutup kegagalan
“Memang bagus ada perancangan tetapi apa yang perlu sekarang ini ialah perubahan daripada sudut pengurusan dan juga jurulatih baru terlebih dulu untuk memastikan skuad badminton lebih berjaya.
“Kalau ada pembaharuan (pengurusan), itu bagus tetapi sekarang mereka umumkan pula projek sebegini yang tempohnya agak panjang dan pada saya langsung tiada perubahan berlaku sebenarnya, cuma ingin menutup kegagalan,” katanya ketika dihubungi semalam.
“Kalau benar mereka ingin lakukan perubahan, beri kuasa penuh pada jurulatih tapi ia tidak berlaku dan mungkin suatu hari nanti kita akan lihat ada tangan ghaib masuk campur.”
Kelmarin, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh mengumumkan akan melantik Pengurus Projek buat mengetuai skuad badminton negara menghadapi tiga temasya Sukan Olimpik bermula di Rio 2016, 2020 dan 2024.



