Kuala Lumpur: Kira-kira 1.5 juta belia bakal menikmati rebat RM200 untuk telefon pintar mudah alih 3G setiap seorang dengan Pakej Komunikasi Belia, bermula 1 Januari depan.

Sehubungan itu, RM300 juta yang disediakan itu adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) bagi memberi laluan kepada golongan muda mendapatkan maklumat dengan lebih mudah.
Pakej itu boleh dimiliki melalui pengedar rasmi telefon pintar mudah alih sekali gus memberi manfaat kepada 22 peratus belia berusia antara 21 hingga 30 tahun yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.


Sebagai galakan

Setiausaha Agung Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI), Muhammad Syukri Ibrahim, berkata pakej itu sebagai galakan kepada belia menggunakan teknologi terkini.

Penggunaan telefon itu berpatutan dengan kehendak belia yang dahagakan ilmu. Pakej itu jawapan kepada kehendak mereka untuk memilikinya, katanya.

Ketua Pegawai Operasi, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia, Zakaria Mad Sam, berkata pemberian rebat itu membuktikan kerajaan memahami keperluan belia yang membesar dengan teknologi maklumat.
Usaha itu juga dilihat sebagai satu langkah melahirkan belia bermaklumat menjelang Wawasan 2020 selain meningkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan mereka, katanya.