Reka bentuk dalaman: Hidupkan ruang keluarga BH Online

Reka bentuk dalaman: Hidupkan ruang keluarga

Bersama Hamidon Abdullah (Pensyarah Kanan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)
2010/11/14

Susun atur, panggung wayang mini antara sudut penting dapat dimanfaat satu famili

KEHADIRAN Aidiladha Rabu ini pasti menjadikan ramai suri rumah sibuk bagi menyambut kehadiran anggota keluarga tersayang. Sudah semestinya, antara sudut kediaman yang menjadi tumpuan untuk dihiasi cantik adalah ruang keluarga.

Ruang ini amat erat kaitannya dengan keharmonian penghuni kerana biasanya tempat untuk seisi keluarga berkumpul bagi berkongsi cerita, terutama bagi mereka yang jarang dapat bertandang ke rumah kerana kesibukan tugas.

Bagi keluarga yang sememangnya duduk serumah, ruang keluarga ini juga menjadi tempat ‘santai’ bersama terutama selepas tamat aktiviti dan rutin seharian seperti bekerja atau anak-anak yang bersekolah.

Selain santai, ruang keluarga ini turut menjadi tempat bagi perbincangan ringan membabitkan agenda keluarga dan aktiviti lain yang akan dilakukan bersama-sama.

Namun, berapa ramai di antara kita faham apa sebenarnya ruang keluarga itu, apalagi menitikberatkan soal menghias ruang itu?

Menyedari betapa pentingnya ruang ini bagi mencipta keharmonian keluarga, maka satu prinsip utama harus dibangunkan iaitu kesempurnaan yang berdasarkan keperluan, kesesuaian dan aktiviti keluarga yang dikekalkan.

Justeru, usaha memaksimumkan fungsi ruang keluarga sebagai ruang bersantai harus berasaskan tiga faktor iaitu:

  • Mewujudkan interaksi antara keluarga

    Ini perkara asas dan harus diperhatikan dalam menentukan pemilihan perabot dan susunannya. Gaya penataan ini penting dalam menentukan setiap keluarga dapat berinteraksi antara satu sama lain dengan baik tanpa halangan.

  • Mewujudkan suasana terbuka

    Ruang itu tidak seharusnya besar tetapi ruang itu perlu dihias dan ditata dengan baik dapat menghasilkan kesan ruang yang lapang dan luas.

  • Susun atur yang mesra

    Gaya susun atur dan pemilihan perabot yang dilakukan tidak mengikat atau membuat orang yang ada rasa tertekan dan setiap ahli keluarga boleh melakukan apa saja tanpa ada sempadan.

    Selain itu, ruang keluarga yang ada harus diaktifkan bagi menjadikannya hidup atau berfungsi. Perlu diingat, tiada peraturan yang menyatakan bahawa ruang keluarga harus mempunyai fokus atau aktiviti tumpuan yang boleh dikongsi bersama. Namun ada beberapa perkara yang menarik untuk diberi perhatian dalam usaha menjadikan ruang keluarga tampak aktif.

    Antara contoh fokus ruang keluarga adalah set peralatan audio dan video seperti televisyen yang dapat memancing agenda perbincangan seperti program realiti tv dan acara sukan seperti bola. Bagi yang berkemampuan, bolehlah menyediakan ruang khas audio visual atau ruang AV. Ruang santai ini digunakan bagi menikmati apa juga hiburan seperti tayangan filem Hollywood dan konsert penyanyi terkenal dunia. Ruang ini turut dilengkapi peralatan audio visual yang canggih dan sistem akustik terkini yang menjadikannya tidak ubah seperti panggung wayang mini. Biarpun teknologinya sering berubah, ia tidak boleh lari daripada kelengkapan asas iaitu tiga speaker di sisi kiri, kanan dan tengah. Bagi memantapkan lagi sistem suara perlu ditambah sub woofer bagi menghasilkan kualiti sistem suara yang baik dan meyakinkan.

    Namun ruang ini tidak mungkin hidup jika saiz ruang tidak diambilkira. Misalnya, bentuk ruang yang baik untuk menghasilkan kesan bunyi yang mantap dan berkesan adalah dalam bentuk ruang yang memanjang ke belakang. Selain daripada itu sistem akustik yang baik membantu menghasilkan kesan bunyi yang baik. Bahan kemasan yang menyerap kesan bunyi seperti memasang panel fabrik pada dinding atau dari bahan kemasan lain seperti panel kayu dan kertas dinding juga baik untuk nilai akustik. Bagi kemasan lantai pula, gunakan permaidani yang dapat mengelak kesan bunyi dan hentakan apabila berjalan.

    Aspek keselesaan ruang juga penting termasuk ruang yang ada aliran udara dan dapat memperoleh cahaya. Aliran udara baik dan bukaan yang dapat menerima kesan pencahayaan semula jadi akan memberi kesegaran dalam ruang. Jika ruang ini tidak digunakan, lebih baik jika tingkap dibuka bagi membenarkan aliran udara . Andai ruang ini digunakan untuk tayangan televisyen atau video maka bukaan tingkap atau bukan aliran udara hendaklah ditutup bagi mengelak cahaya memasuki ruang. Penggunaan tirai ‘black out’ atau tirai kedap cahaya amat bagus kerana tirai ini menyekat 100 peratus cahaya dari memasuki ruang bagi menghasilkan gambar yang baik pada skrin.

    Tidak sempurna jika keselesaan menonton bersama keluarga tidak berlapikkan kerusi atau sofa yang empuk dan selesa. Pemilihan sofa amat penting bagi menyesuaikan dengan kegunaan ruang. Adalah digalakkan memilih sofa fabrik yang lembut yang berangkai daripada sofa diperbuat daripada kulit, besi, kayu dan plastik. Jika boleh, elakkan penggunaan ‘single’ sofa yang menggalakkan sikap individu dalam keluarga. Yang jelas penggunaan sofa fabrik lebih selesa, lembut dan yang penting sofa jenis berangkai dapat mengeratkan hubungan keluarga.

    Bangkitkan mood dengan melakukan pengolahan warna pada dinding. Jangan pilih warna yang memberi kesan terlalu formal sebaliknya warna semula jadi menjadi latar untuk digabung dengan warna-warna cerah yang lain. Sekiranya ruang keluarga digabung bersama ruang atau bilik audio visual adalah digalak mengguna warna gelap atau terapkan warna cenderung kepada warna hangat. Elakkan penggunaan warna yang pelbagai atau warna warni.