Reka bentuk dalaman: Kemasan lantai, ruang LANTAI kayu selesa ketika dipijak dan sesuai untuk bilik tidur.
Kenali jenis sesuai bagi jamin seri, keselamatan rumah

LANTAI adalah permukaan tanah yang dikemaskan berguna bagi sebarang aktiviti khasnya membabitkan ruang dalam rumah. Ia turut menampung beban hidup iaitu manusia serta perkakasan selain beban mati merangkumi berat bangunan, kemasan lantai serta struktur bangunan.
Lantai berfungsi mengikut konsep dan keperluan sesuatu aktiviti. Kemasan lantai bukan sekadar latar sesuatu ruang tetapi berupaya memberi kepuasan dari segi tarikan estetika dan ketahanan.


Ada pelbagai pilihan bahan kemasan untuk dipilih merujuk kesesuaian sesuatu konsep reka bentuk dalaman, seni bina dan aktiviti dijalankan. Bilik air yang sentiasa basah dan lembap misalnya, pilihan bahan perlu jenis resap air manakala permukaannya tidak licin.

Antara kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum memilih jenis serta kemasan lantai adalah ketahanan khasnya membabitkan ruang sering digunakan, kos penggunaan bahan, pemasangan dan penyelenggaraan membabitkan tenaga, masa serta perbelanjaan serta mengambil kira estetika dan praktikal khususnya dari aspek seni bina.

Kriteria lain adalah keperluan kawalan penyerapan kesan bunyi dan akustik, mampu mengasing serta menyerap cahaya dan kesan menarik di ruang selain memenuhi piawaian kawalan kebakaran dan keselamatan.

Pemilihan lantai ruang
Ruang mempunyai fungsi tersendiri bermatlamat menyenangkan penghuni rumah melakukan aktiviti mereka. Setiap aktiviti boleh terjejas jika ruang tidak sempurna dari segi saiz, kedudukan, skim warna dan pemilihan bahan kemasan.

Perlu diingat, setiap lantai ruang berbeza ciri, karektor dan material, antaranya:

Lantai ruang tamu

Disebabkan statusnya sebagai ruang sosial penting dan menduduki hierarki utama ruang dalaman, maka pilihan lantai perlu menampilkan imej serta identiti pemiliknya. Keselesaan ruang biasanya dinilai serta diukur menerusi pilihan kemasan digunakan. Bagi menampakkan cita rasa mewah mewah, disyorkan memilih lantai berkemasan batu marmar dan jubin seramik licau. Sementara, lantai kayu menyerlahkan suasana semula jadi melalui corak teksturnya yang lembut itu.

Lantai ruang makan

Ini ruang untuk menikmati hidangan dan kadangkala kedudukannya bersambung dengan ruang tamu. Namun, jika kedudukannya berasingan dengan ruang tamu, elok dipasang dengan kemasan berbeza. Kriteria pemilihannya perlu mengambil kira kebersihan selain mudah dibersihkan. Kemasan batu marmar dan jubin licau adalah material terbaik.

Lantai bilik tidur

Bilik tidur adalah ruang peribadi yang memerlukan lebih keselesaan berbanding ruang lain meskipun ia hanya digunakan suku masa ketika di rumah. Bagi mengelakkan kaki terasa sejuk pada waktu pagi dan selepas mandi, sebaiknya jangan pilih jubin seramik. Sebaliknya, lantai kayu dihamparkan permaidani adalah pilihan terbaik.

Lantai ruang dapur

Ruang dapur memerlukan kemasan lasak kerana banyak pergerakan berlaku di sini. Lagipun, ia mudah basah, melekit, terdedah kepada kekotoran selain faktor keselamatan seperti licin akibat tumpahan air dan minyak juga objek tajam. Justeru, ciri mudah dicuci, tahan licin dan lasak adalah faktor perlu difikirkan maka pilihan lantainya sepatutnya dari jenis jubin homogeneous, mozek dan batu loh.

Lantai bilik air

Ruang ini dikenali basah dan licin maka pilihan lantai perlu daripada bahan cepat kering serta tidak licin. Aliran terkini ruang berkenaan membolehkannya menjadi ruang istirahat juga terapi minda, justeru sebaiknya, kemasan perlu dipelbagaikan termasuk mengambil kira faktor keselamatan dan kebersihan.

Lantai anjung dan teres

Dua tempat ini terletak di bahagian hadapan dan sisi rumah. Selain menempatkan pintu masuk utama rumah, ia juga menjadi ruang santai, tempat meletak kenderaan sekali gus bersambung dengan laluan kereta serta pintu pagar. Dengan kedudukannya di luar seterusnya terbuka kepada sinaran matahari, hutan hujan serta mendapat tekanan daripada kenderaan berat, maka pilihan kemasan lantai sebaiknya menggunakan bahan kuat, tahan lasak selain tahan tekanan dan hentakan. Bahan kemasan lantai yang sesuai untuknya adalah jubin homogeneous, batu kerikil halus, jubin terracotta, bata, granit dan batu loh.