Retak lutut
Farid cedera jayakan filem aksi bersama Aaron Aziz

BIARPUN berkerusi roda sepanjang majlis tayangan media dan sidang media filem terbarunya, Hantu Gangster, Farid Kamil tetapi bersemangat membantu mempromosikan judul arahan Wee Meng Chee atau Namewee.
Berpakaian baju Melayu serta bersongkok, Farid setia ditemani kekasih, Diana Danielle, yang turut membintangi filem itu, di Kuala Lumpur, kelmarin.


Aktor yang juga pengarah berbakat itu terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan akibat tempurung lutut kirinya retak setelah terjatuh sewaktu menjalani penggambaran filem Dampak, Isnin lalu.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 31, berkata kecederaan itu dialami ketika sesi penggambaran di sebuah kelab di Bukit Bintang, yang turut mengakibatkan lutut kirinya bengkak dan lebam.

“Saya terjatuh berguling di tangga kelab itu kerana hilang imbangan badan ketika melakukan babak kejar-mengejar. Kemalangan kecil itu menyebabkan lutut kiri bengkak kerana berlaku pendarahan dalaman yang serius.

“Selepas mendapat rawatan di Hospital Ampang Puteri, doktor mengesahkan tempurung lutut saya retak akibat hentakan kuat. Jadi, saya terpaksa menggunakan tongkat. Untuk bergerak lebih jauh pula, saya perlu menggunakan kerusi roda,” katanya.
Dampak ialah filem genre aksi terbitan Ops Production, yang dilakonkan bersama Aaron Aziz dan Juliana Evans.

Kesal dengan kemalangan itu yang mengakibatkan sesi penggambaran tergendala, Farid berkata, dia hanya mampu melakukan babak yang memerlukan dirinya berdiri buat seketika.

“Saya mungkin berkeadaan begini sehingga enam minggu. Kecederaan ini begitu mengganggu tugas saya sebagai pelakon dan kadang kala saya rasa tertekan, walaupun baru beberapa hari mengalaminya,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan produksi filem Dampak terpaksa menggunakan pelakon pengganti untuk saki-baki babak aksi membabitkan dirinya.

Suka pendekatan Namewee

Berbicara soal pembabitannya dalam filem arahan pengarah kontroversi, Namewee, Farid menyifatkan ia peluang yang dinanti dan amat sukakan sentuhan karya jejaka Tionghua itu.

“Bila Namewee datang berjumpa saya bersama produser, mereka tidak sedar saya mempunyai hubungan dengan Diana. Itulah antara sebab saya terima pelawaan mereka. Begitu juga ketika mereka menawarkan watak kepada Diana.

“Bukan apa, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan atau menjual kisah cinta kami melalui filem. Saya mahu dikenali kerana bakat lakon saja,” katanya.

Farid juga melihat pengarah itu cukup kreatif dalam mencipta watak dan perwatakannya sebagai Ewan.

“Dia mencipta watak jahat yang tidak terlalu nampak kejahatannya. Itulah antara pendekatan pengarah ini. Pembunuh yang digambarkan dalam filem ini berbeza dengan watak pembunuh sering digambarkan dalam filem lain. Saya lihat, Namewee mengkaji watak pernah saya lakonkan sebelum ini supaya saya tidak lagi melakonkan watak sama, katanya yang menggunakan seragam Superman dalam filem berkenaan.

Selain Dampak dan Hantu Gangster, yang ditayangkan mulai 9 Ogos ini, Farid juga terbabit dalam filem Pengapit arahan Wan Hasliza, bersama aktres Nadiya Nisaa.