MAKKAH: Hujan ribut di Arafah petang semalam yang mengakibatkan beberapa khemah untuk jemaah Malaysia runtuh tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk menguruskan jemaah menunaikan wukuf empat hari lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat.
Katanya, cuaca hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah kes biasa dan pengurusan TH bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang musim haji adalah perkara biasa berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu... Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman lepas untuk meningkatkan persiapan kita," katanya di sini, hari ini.

Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki tanah suci berikutan cuaca buruk dan banjir di Arafah.

Jamil Khir berkata, semua jemaah haji Malaysia sudah pun memasuki Makkah dan tiada seorang pun jemaah yang datang menerusi TH menghadapi sebarang masalah.

"Ada berita yang saya dengar ialah terdapat jemaah dari syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.
Sementara itu, TH dalam kenyataan akhbarnya di sini berkata dakwaan kononnya Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah ditutup ekoran cuaca buruk adalah tidak benar.

"Terminal Haji itu ditutup semalam adalah kerana tiada lagi penerbangan haji yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.

Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki hari ini dan cuaca dilaporkan kembali panas hari ini sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah yang basah.

Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan wukuf di Arafah pada 14 Oktober ini. - BERNAMA