Syarikat sasar kembali raih untung

PENERBANGAN Malaysia (MAS) melaksanakan rombakan kecil pelan perniagaan yang diumumkan Disember lalu dengan penetapan sasaran baru untuk kembali meraih keuntungan mulai tahun kewangan 2014.
Sebelum ini syarikat penerbangan nasional itu menyasar untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2013.


Dalam rombakan itu, MAS akan memberi tumpuan serta-merta terhadap usaha memaksimumkan pendapatan yang kini tidak seimbang berbanding kos.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, berkata rombakan itu tidak bermakna syarikat akan mengubah sepenuhnya semua strategi pemulihan yang dinyatakan sebelumnya ini.

Ia sebaliknya bagi memastikan setiap strategi yang sudah dan bakal dilaksanakan MAS kekal relevan dengan perubahan persekitaran semasa industri penerbangan.

“Kami memerlukan sedikit masa. Jadi kami membuat sedikit perubahan dan menetapkan sasaran baru untuk kembali meraih keuntungan pada 2014 dengan melaksanakan beberapa usaha tertentu, termasuk maksimum penggunaan pesawat baru dan mengurangkan kos secara berstruktur.
“Harapan kami semua langkah baru dan yang akan dilaksanakan dalam pelan pemulihan perniagaan ini mampu mengurangkan kos operasi syarikat sebanyak 20 peratus dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur semalam.

Ahmad Jauhari berkata, bagi memaksimumkan semula pendapatan, MAS akan menumpukan sepenuhnya dalam meningkatkan pendapatan penjualan kerusi bagi setiap kilometer (RASK) dan mengurangkan kos setiap sen yang dibelanjakan untuk kerusi bagi setiap kilometer (CASK).

“Ini adalah keutamaan serta merta MAS kini. Jika ketidakseimbangan antara RASK dan CASK berterusan, MAS tidak boleh mencatatkan keuntungan,” katanya.

Kini RASK MAS adalah pada 18.6 sen, jauh lebih rendah berbanding CASK iaitu 25.8 sen.