Madrid: Selepas Kaka mahu berhijrah, kini penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo pula mendedahkan bahawa dirinya tidak gembira bersama kelab Sepanyol itu.

Ronaldo yang menjaringkan dua gol ketika membantu Real menewaskan Granada 3-0 di Santiago Bernabeu, awal pagi semalam berkata, dia kecewa dengan ‘orang dalam kelab itu’.
Buktinya, penyerang Portugal itu dilihat tidak meraikan jaringan ke-150 peribadinya bersama kelab itu dengan hanya membiarkan rakan-rakan sepasukan mengelilinginya.


Ditanya mengenai tindakannya itu, Ronaldo berkata: “Saya sedih dan kelab mengetahuinya. Itu sebab kenapa saya tak meraikan jaringan itu. Orang dalam kelab tahu kenapa.”

Higuain tidak tahu

Kenyataan terbaru Ronaldo itu sekali gus mencetuskan khabar angin dia mahu meninggalkan Real.

Namun, pemain berusia 27 tahun itu enggan mengulas lanjut punca tidak berpuas hati dengan Real yang membelinya dari Manchester United pada 2009.
“Saya tak perlu katakan apa-apa lagi, orang sudah mengetahuinya,” jelas Ronaldo ringkas.

Sementara itu, penjaring gol ketiga Real pada aksi awal pagi semalam, Gonzalo Higuain berkata, dia tidak mengetahui mengenai Ronaldo tidak gembira bersama kelab itu.

“Saya nampak dia okey saja. Dia menjaringkan dua gol dan saya percaya yang dia pasti gembira. Kami rakan sepasukan pun melihat dia tiada masalah,” ujar Higuain. - AP