Rosnah Mohd Noor meninggal kerana barah Rosnah Mohd Noor
Selepas lebih tiga tahun bertarung nyawa melawan penyakit barah payu dara, pelakon popular era 80-an, Rosnah Mohd Noor, 54, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.55 petang semalam, di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jenazah pelakon yang juga penerbit drama kelahiran Pasir Putih, Kelantan, itu dimandikan di HKL sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya untuk dikebumikan.
Rosnah yang memulakan kerjaya lakonan sejak 31 tahun lalu menerusi filem Ribut di Hujung Senja baru lima hari pulang ke rumah setelah lebih sebulan menjalani rawatan di HKL.

Namun keadaan kesihatan yang kembali merosot mendorong keluarga menghantarnya semula ke hospital. Sebelum ini Rosnah turut mendapat rawatan di hospital sama pada Februari lalu kerana patah tulang paha, kesan daripada barah yang dikatakan melarat ke tulangnya.

Anak kedua Rosnah, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, berkata, mereka menghantar semula ibunya ke hospital setelah wanita itu mengadu sesak nafas.

“Sebelum ini mama memang kerap berulang alik ke hospital, tetapi keadaannya stabil. Bagaimanapun petang semalam mama tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum dia disahkan meninggal dunia.

“Jenazah mama dibawa ke rumah ibu saudara kami di Subang Jaya dan akan dikebumikan sebaik saja abang sulung, Wan Ramada Agus Putra, tiba dari Australia. Kami memaklumkan kepada abang mengenai keadaan mama beberapa hari lalu.
“Sebenarnya arwah menghalang kami daripada memberitahu abang kerana tidak mahu menyusahkannya, tetapi kami terpaksa berbuat demikian. Bagaimanapun abang tidak sempat berjumpa mama buat kali terakhir,” kata Wan Shamira ketika dihubungi, semalam.

Wan Ramada kini melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Sydney dalam jurusan seni bina. Selain Wan Shamira dan Wan Ramada, Rosnah yang pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut, Iwan, pada 1988 sebelum berpisah pada 1995 turut mempunyai seorang lagi cahaya mata, Wan Shahera Puteri Apreena, 20. Arwah juga meninggalkan seorang cucu hasil perkahwinan anak kedua yang kini berusia setahun.

Selepas bercerai dengan Iwan, Rosnah bertemu jodoh sekali lagi dengan seorang usahawan, Kazmin Kuzi, pada 1998. Bagaimanapun perkahwinan kedua juga tidak berkekalan apabila dia kembali solo, kira-kira dua tahun lalu.

Antara filem lakonannya termasuk Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982).

Lakonan Rosnah pernah mendapat pengiktirafan apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 1984 dan 1986, masing-masing menerusi Ambang Kasih dan Hantu Siang.

Setelah memperlahankan kerjaya lakonan, Rosnah berjinak-jinak dalam bidang pengarahan dan penerbitan. Menerusi syarikat RMN Production, Rosnah mengarah drama Dia Buat Hal Lagi dan Rumah Kayu Tiang Seribu.