gambar sebelum  gambar berikut
  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Pemilik semi D terap elemen praktikal, mudah selenggara dalam menata dekorasi kediaman

MENJEJAKI segenap ruang kediaman semi D yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam ini, pemiliknya, Tony Lai Chee Hong nyata mempunyai prinsip menghias serta pandangan berbeza. Ketika majoriti masyarakat China berpegang kuat dengan amalan serta ajaran fengshui, Tony sebaliknya tegas dengan pendirian menata hias perlu didorong cita rasa, elemen praktikal serta keperluan ruang.
Tony berkata, pemilik rumah wajar memahami karektor ruang, mengenal pasti keperluannya sebelum memenuhi ruang dengan perabot, kemasan serta aksesori praktikal untuk kegunaan rutin.


“Saya tidak meletak kepercayaan kepada fengshui. Sebaliknya lebih mengutamakan ciri praktikal serta keselesaan yang mampu ditawarkan sesuatu perabot atau produk rumah.

“Bukan mahu melabelkan itu-ini, namun melalui pengalaman dan pemerhatian, saya dapati ada susun atur disyorkan tidak berupaya bekerjasama baik dengan pelan lantai rumah ini.

“Jadi, langkah selamat, lebih baik menghias merujuk tuntutan ruang selain paling utama, menyediakan suasana selesa buat keluarga kecil saya ini,” katanya yang memilih gaya penataan moden kontemporari untuk kediamannya.

Menyifatkan gaya itu ringkas, memenuhi permintaan aliran gaya semasa dan mudah menemukan perabot sesuai, pilihan tema itu juga ditentukan melalui keupayaannya menampakkan ruang kediaman sekali ganda lebih luas.
“Semuanya difikirkan selepas saya menempuh sedikit kesusahan ketika mencuba gaya Bali dulu. Jangan salah faham mengatakan gaya itu tidak bagus, hanya mungkin ia tidak sesuai untuk saya.

“Selain dilihat sarat berikutan terlalu banyak perhiasan berunsur etnik dan seni, penyenggaraan dan penjagaan lantai kayu yang renyah buat saya tidak tahan.

“Jika dilakukan sambil lewa, potensi ia diserang anai-anai sangat cerah. Namun, untuk bersungguh-sungguh menjaga, memang memerlukan masa serta komitmen tidak berbelah bagi... Itu yang saya tiada,” katanya.

Berikutan itu, Tony selesa memilih kemasan lantai jubin bagi aras bawah manakala tingkat atas menyediakan pemasangan lantai kayu berlamina. Tony gembira dengan keputusan dibuatnya, apatah lagi menyedari lantai jubin berupaya menyerlahkan impak mewah di bawah sinaran lampu selain mudah disenggara.

“Penjagaan jubin tidak rumit, ia hanya perlu dimop sekiranya ingin ia kembali bersih dan licin. Lantai kayu berlamina pula memberi kesan selesa ketika dipijak terutama menjelang pagi selepas alat pendingin hawa dipadamkan.

“Jika sebelumnya, lantai jubin dan kayu biasa tidak mampu menebat haba sekali gus ngilu serta sejuk ketika dipijak, namun lantai ini berbeza. Ia masih hangat biarpun alat pendingin hawa dipasang semalaman,” kata bapa kepada seorang cahaya mata, Justin Lai serta suami kepada Rina Lee ini.

Namun, yang tidak mungkin diulangi lagi ialah mengabadikan perhiasan etnik sebagai sebahagian hiasan rumah. Menurutnya, suatu ketika dulu, beliau pernah mencuba perhiasan menonjolkan seni budaya Cina namun sejajar peredaran masa, aksesori seumpamanya gagal mengikat minatnya.

“Itu cerita dua tahun lalu dan semakin matang usia, minat saya kini beralih kepada seni moden pula terutama lukisan abstrak. Berikutan kediaman ini menampilkan dominasi warna hitam, kelabu dan putih, saya fikir wajar dinding dihiasi percikan warna dramatik lukisan abstrak.

“Selain menyerlah, ia berupaya membangkitkan karektor ruang,” katanya melainkan bilik tidur serta dinding tingkat atas bercat warna ungu dan hijau, selebihnya mengutarakan penguasaan warna kelabu yang disifatkan berupaya menguatkan gaya kediaman kontemporari pilihannya.

Alasan memilih kelabu baginya ialah rona itu memenuhi keperluan suai padan selain memberi kedamaian. Tony mengaku menyukai himpunan warna segar terutama hijau yang menghidupkan seri ruang.

Menariknya, beliau tidak kisah melaburkan sejumlah wang yang besar bagi kemasan dinding asalkan hasilnya menepati cita rasa dan serasi gaya keseluruhan kediaman. Ini dibuktikan menerusi pemasangan kertas dinding baru bermotif mozek menggantikan corak flora yang hanya mampu bertahan selama dua bulan di ruang keluarga di tingkat atas.

“Walaupun terpaksa ‘membocorkan’ poket, saya berpuas hati kerana motif mozek rekaan tiga dimensi ini sedondon gaya sofa serta kusyen hiasan.

“Kesilapan menelah kesan penyudah di katalog membawa padah apabila yang difikirkan cantik diketengahkan di dinding, sebaliknya menyajikan impak luar jangkaan. Rupa-rupanya ia menjadikan suasana ruang sarat dan kelam. Ini pengajaran buat saya supaya jangan terpedaya dengan paparan katalog tetapi memilih merujuk suai padan kemasan serta perabot sedia ada,” katanya.

Mengaku lebih menyukai kertas dinding berbanding cat, menurutnya, kelebihan kemasan berkenaan ialah ia mudah ditanggalkan apabila ingin digantikan dengan yang baru.

“Namun, pilih kertas dinding berasaskan air yang disahkan mudah lekang lalu tidak menanggalkan sisa ketika ditanggalkan. Bagi saya, ia lebih menguntungkan berbanding cat yang memerlukan sokongan cat asas sebelum boleh memulakan proses cat baru. Kadangkala, ia memerlukan pertolongan beberapa cat pelindung bagi menyerlahkan warna baru dinding itu,” katanya.

Sementara, demi keselesaan, pengubahsuaian tidak dapat dielak. Namun, Tony tidak mengubah pelan lantai seluruh kediaman sebaliknya hanya menyentuh beberapa ruang yang difikirkan penting bagi melancarkan pergerakan rutin. Ini membina bilik persalinan menggantikan kamar tetamu, memasang lantai kayu berlamina di tingkat atas selain memasang selusur tangga besi tempawan berbanding rel logam biasa sebelumnya.

Ditanya apa perubahan lain bakal dilakukan, Tony berkata:

“Saya sukar diramal. Jika dalam masa terdekat ini bosan, saya mungkin akan merangka satu dua pembaharuan di beberapa ruang. Saya ada juga mengintai hiasan dalaman berciri futuristik untuk dicuba. Tengoklah, tiba masanya nanti, saya mungkin akan lakukan juga.”