SOLAT berjemaah diwajibkan kepada penghuni Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah, Klang untuk mengukuhkan silaturahim dan akidah.
SESETENGAH pendapat mengatakan penubuhan rumah perlindungan untuk wanita bermasalah termasuk yang mengandung hasil perbuatan zina lebih banyak keburukannya kerana akan menggalakkan gejala tidak baik.
Pengasas Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah, Hazlina Abd Razak, berkata pengurusan rumah perlindungan wanita perlu tegas menjalankan usaha pemulihan jika tidak mahu niat murni itu menjadi fitnah kepada masyarakat.
Oleh itu katanya, rumah perlindungan perlu bersikap memilih, menetapkan peraturan tegas dan mempunyai modul yang komprehensif supaya dapat mencapai matlamat penubuhannya untuk membantu wanita menyelesaikan masalah dan membina kehidupan lebih baik.
“Rumah perlindungan perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar ingin dibantu serta bersedia mengikut peraturan ditetapkan sepanjang proses pemulihan dan mendapat sokongan ibu bapa diterima berlindung di sana.
“Kita tidak mahu rumah perlindungan hanya menjadi tempat wanita dan keluarga melarikan diri daripada aib. Jika tidak, rumah perlindungan akan menjadi fitnah kepada masyarakat seolah-olah benarlah ia tempat untuk melahirkan anak saja,” katanya.
Beliau yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan oleh Amanah Raya Berhad di Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah di Klang berkata, fungsi rumah perlindungan ialah membantu wanita mengeluarkan diri daripada masalah dihadapi dan membina kehidupan lebih baik.
Katanya, Rumah Perlindungan Darul Wardah ditubuhkan Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Selangor bertujuan menjadi pusat sehenti memberi bantuan kepada wanita yang baru memeluk Islam, menghadapi masalah keganasan rumah tangga dan remaja yang mengandung daripada perbuatan zina.
Hazlina berkata, hakikatnya bukan mudah menguruskan masalah dihadapi penghuni rumah Darul Wardah, tetapi kerja sukarela itu perlu dilakukan kerana tidak mahu wanita terus tergapai-gapai atau dihimpit kesusahan.
Katanya, cabaran paling besar ialah membantu wanita mengandung hasil perbuatan zina untuk menyedari kesilapan dilakukan, bertaubat kepada Allah dan mengembalikan keyakinan diri meneruskan kehidupan bersama keluarga serta masyarakat.
Bagi tujuan itu, sokongan terutama daripada ibu bapa sangat diperlukan untuk memudahkan kerja pemulihan oleh pihak pengurusan mengikut modul ditetapkan selain kesediaan wanita berkenaan untuk berubah.
“Saya tekankan sokongan ibu bapa kerana ada kalanya tindakan ibu bapa memberi tekanan kepada pihak pengurusan yang ingin membantu. Masa mula datang menangis minta tolong dan berjanji akan ikut saja apa yang kita tetapkan tetapi lepas anak selamat bersalin, mereka mula nak macam-macam.
“Begitu juga remaja yang datang, jika awal lagi sudah tunjuk sikap memberontak, kami keluarkan. Kami hanya membantu mereka yang hendak bantu diri sendiri. Bunyi macam kejam tetapi saya tidak mahu jadi fitnah kepada rumah perlindungan dan menjadi barah kepada yang ingin berubah,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman menguruskan Darul Wardah yang baru menginjak usia setahun itu, banyak yang perlu diberi perhatian selain melakukan penambahbaikan demi memastikan proses pemulihan dapat dilakukan dengan berkesan.
Sebagai rumah perlindungan yang baru setahun jagung, Darul Wardah masih dalam proses mencuba serta mengkaji keberkesanan peraturan, modul pemulihan dan bimbingan yang dilaksanakan sekurang-kurangnya selama setahun kepada setiap penghuni.
Darul Wardah melakukan pemantauan berterusan kepada penghuni rumah perlindungan berkenaan termasuk alumni iaitu bekas penghuni yang sudah memulakan kehidupan baru bagi memastikan proses tarbiah tidak terhenti setakat di rumah perlindungan saja.
Bekas penghuni Darul Wardah diwajibkan datang secara berkala untuk mengikuti program dianjurkan, menghantar mesej sekali seminggu selain pihak pengurusan sendiri menziarahi mereka yang sudah kembali di negeri asal seperti di Perak, Pahang dan Terengganu.
Hazlina berkata, rumah perlindungan wanita hanya sebahagian kecil jalan penyelesaian menangani gejala sosial dan selebihnya masih tertumpu kepada usaha pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, usaha pencegahan sudah banyak dilaksanakan termasuk kempen kesedaran tetapi daripada aspek penguatkuasaan undang-undang masih kurang sedangkan hukuman perlu sebagai pengajaran.
“Disebabkan hukuman untuk mengajar tidak dilaksanakan, proses pemulihan jadi lambat kerana pemulihan sebahagian cara penyelesaian. Itu yang payah nak jadi baik. Saya cadangkan jika bersalah, kita hukum untuk mengajar dan kita bantu dengan pemulihan,” katanya.
Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata hukuman sebagai pengajaran perlu dilaksanakan bagi mengelak timbul cara berfikir seolah-olah tidak mengapa melakukan kesalahan kerana tiada tindakan dikenakan.
Oleh itu katanya, jika ada ruang untuk mengenakan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan, ia perlu dilaksanakan dan semua orang hendaklah menghormati keputusan pihak bertanggungjawab.
Katanya, sikap umat Islam yang mempertikaikan pelaksanaan undang-undang syariah oleh pihak berwajib disebabkan mereka hidup dalam imaginasi sosial yang dipengaruhi dan didominasi budaya orang lain.
“Jadi, kita perlu selesaikan dominasi khayalan sosial yang merugikan dan menyebabkan kita rasa terhina untuk mengamalkan ajaran agama,” katanya.