SME Factors Sdn Bhd, syarikat yang menyediakan pembiayaan pemfaktoran kepada kontraktor dan pembekal kontrak kerajaan, akan melancarkan dana pembiayaan khusus bagi sektor swasta dalam tempoh enam bulan ini.

Pengarah Urusannya, Syed Zed Al Qudsy, berkata langkah itu berikutan permintaan tinggi yang diterima daripada kontraktor dan pem-bekal sektor swasta, khususnya membabitkan projek berimpak tinggi yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara kini.
“Kami akan memberi tumpuan kepada beberapa sektor seperti pengeluaran dan pembinaan, namun tidak mengehadkan untuk sektor tertentu saja.


“Buat masa ini, jumlah pelanggan kami daripada sektor swasta antara 10 hingga 15 peratus daripada 2,000 keseluruhannya dan jumlah itu meningkat dari bulan ke bulan. Justeru sudah tiba masanya pembiayaan khusus kepada kumpulan ini disediakan,” katanya pada sesi minum petang pengurusan kanan SME Factors bersama media di Petaling Jaya, semalam.

SME Factors ditubuhkan tiga tahun lalu mempunyai kepakaran dari segi mengurus profil risiko syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan matlamat membantu menyediakan penyelesaian aliran tunai kepada golongan berkenaan.

Syarikat itu diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan sebagai syarikat pemfaktoran berdaftar serta berlesen di negara ini.

Ketika ini, SME Factors menyediakan barisan komprehensif produk penyelesaian aliran tunai untuk sektor PKS, bermula daripada syarikat permulaan, syarikat bermodal sederhana, pengeluar sehinggalah kontraktor.
Syed Zed berkata, pihaknya masih belum menetapkan peruntukan yang akan disediakan bagi membiayai pelanggan sektor swasta, namun memberi bayangan jumlahnya adalah lebih tinggi daripada dana SMEsuccess, iaitu kemudahan pemfaktoran yang dikhususkan untuk vendor serta kontraktor yang mendapat kontrak atau projek daripada agensi yang menjadi ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM).

Katanya, SMEsuccess yang memperuntukkan dana berjumlah RM200 juta dan baru saja dilancarkan bulan lalu itu menerima maklum balas cukup memberangsangkan, malah peruntukannya akan dinaikkan sekali ganda lagi kepada RM400 juta sebelum akhir tahun ini.

“Bagi dana sektor swasta, kami menjangkakan jumlah yang lebih tinggi akan diperuntukkan. Kami berkemungkinan besar akan menyediakan pinjaman minimum RM50,000 bagi setiap pemohon bergantung kepada saiz projek diraih pelanggan,” katanya.

Tegasnya, cabaran dihadapi SME Factors dengan rancangan menyediakan pembiayaan untuk sektor swasta adalah dari segi prosedur pe-ngurusan risiko memandangkan syarikat itu berperanan sebagai ‘jendela peluang’ kepada program pembiayaan PKS.

“Kami mempunyai kepakaran untuk menukar sesuatu risiko yang besar menjadi sebuah risiko yang boleh diuruskan. SME Factors menjadi saluran unik kepada PKS mendapatkan penyelesaian aliran tunai,” katanya.

Berikutan permintaan tinggi terhadap produknya, Syed Zed berkata SME Factors akan membuka Pusat Pengurusan Pelanggan pertamanya di Damansara Utama, bulan depan sebelum membuka lima lagi cawangan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Katanya, lima cawangan itu merangkumi lima wilayah utama di Malaysia iaitu masing-masing di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching.