Lumut: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dan hairan terhadap keengganan pemimpin pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bersama Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) seperti dilakukan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata beliau juga pelik dengan pendirian itu sedangkan pihak berkenaan sebelum ini melaungkan soal integriti dan calon yang bersih.
Patut tandatangan ikrar

Katanya, pembangkang sepatutnya menandatangani ikrar itu kerana rakyat mahukan pemimpin serta wakil rakyat yang bukan saja mempunyai integriti, malah iltizam untuk melaksanakan perkara itu.

“Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri selaku ketua BN bagus tetapi kenapa pula mereka (pemimpin pembangkang) tidak mahu sedangkan ikrar integriti ini satu perkara yang sangat perlu dalam kita melahirkan kumpulan pemimpin dan wakil rakyat yang berintegriti.

“Memanglah kita boleh cakap, cakap lain buat lain, hati lain, tetapi mereka perlu zahirkan apa yang ada dalam hati. Lagipun ikrar integriti bukan satu idea dari satu parti politik, ini inisiatif TI-Malaysia iaitu sebuah badan antarabangsa yang tiada kaitan dengan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat ulangan mengenai persediaan PRU-13 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Penolong RO Negeri Perak di sini, semalam.
Dakwat kekal

Dalam perkembangan lain, beliau berkata SPR bersedia berdepan kemungkinan kekecohan di pusat mengundi berikutan penggunaan dakwat kekal pada PRU-13.

Katanya, kekecohan mungkin berlaku jika kertas undi tidak diberikan kepada pemilih dalam keadaan tertentu termasuk keengganan membenarkan jari dicalit dakwat kekal.