Muar: Kerajaan sedia menimbang Sumbangan Veteran ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada balu tentera sebagai menghargai sumbangan suami masing-masing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan mengusulkan perkara itu kepada Kabinet bagi membolehkan balu tentera tidak berpencen turut menerima sumbangan sekali gus RM1,000.
Secara peribadi saya sokong 100 peratus pemberian itu. Saya akan sebut dalam mesyuarat Kabinet nanti.


Sudah ada peruntukan

Pada dasarnya kita memang mahu menyumbang kepada balu tentera dan peruntukan pun sudah ada, katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Pesara Tentera Tidak Berpencen Negeri Johor di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bakri, dekat sini, semalam.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Seramai 6,184 veteran tentera seluruh Johor layak menerima sumbangan RM1,000 secara sekali gus.
Hargai sumbangan

Muhyiddin berkata, SVTB1M itu adalah untuk menghargai jasa veteran tentera yang berjuang sehingga terkorban.

Saya percaya kerajaan akan menimbang pemberian sumbangan itu kepada balu veteran tentera yang banyak berjasa untuk menjaga keamanan negara, katanya.

Muhyiddin berkata, bantuan kepada veteran tentera adalah sumbangan kerajaan bagi mengiktiraf dan mengenang jasa mereka ketika berkhidmat dengan ATM.

Katanya, kerajaan sedar kesukaran atau cabaran yang dihadapi veteran itu dan bantuan itu adalah sumbangan kecil berbanding nilai pengorbanan mereka memastikan keamanan negara.