KUCHING: Cara mereka cukup bersahaja, sambil duduk seperti bersantai tanpa pakaian seksi, gaya dan lagak sekumpulan gadis urut warga asing seperti tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, namun di sebaliknya mereka sebenarnya adalah penggoda lelaki hidung belang.
Apabila kereta dipandu lelaki memasuki kawasan itu, gadis berusia 20 hingga 27 tahun itu tanpa segan silu akan memanggil dan menggoda mereka sambil menawarkan perkhidmatan urut sebelum turut diajak melakukan hubungan seks jika kena pada bayarannya.
Tinjauan Berita Harian mendapati pusat komersial itu menempatkan tidak kurang daripada 10 premis rumah urut dan ia menjadi tumpuan pelanggan tempatan terutama lelaki mendapatkan perkhidmatan mengurut selain pakej sampingan lain.
Difahamkan, akibat persaingan sengit antara pemilik rumah urut, gadis urut terpaksa bersaing bagi mendapatkan pelanggan menyebabkan ada antara mereka terpaksa menunggu pelanggan di tepi jalan sebelum mengajak mereka ke dalam rumah urut.
Seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Peter, 27, berkata dia mula mengetahui mengenai gadis urut ini apabila diajak seorang gadis dari China untuk mencuba perkhidmatan urut batin yang ditawarkan salah sebuah rumah urut di kawasan itu.
Katanya, berikutan harganya yang cuma RM50 bagi setiap satu jam, beliau mengambil keputusan mencubanya sebelum gadis itu menawarkan hubungan seks dengan bayaran tambahan RM250, dan boleh dirunding.
“Ketika itu saya sedang menunggu seorang rakan sebelum dihampiri seorang gadis yang mengetuk cermin tingkap kenderaan dan mempelawa saya ke rumah urut. Selepas berbincang mengenai harga, saya bersetuju mengikutnya ke dalam bilik.
"Apa yang mengejutkan saya kemudian ditawarkan mengadakan hubungan seks dengan bayaran RM250 namun terpaksa menolaknya kerana tidak berani mengambil risiko,” katanya.
Tinjauan turut mendapati ada seorang lelaki berusia sekitar 40-an berada berdekatan dengan kumpulan gadis berkenaan dengan dia dipercayai menjadi orang tengah kepada pelanggan atau tukang urut yang tidak mahir berbahasa Mandarin atau Inggeris.
Ketika tinjauan dilakukan, sekurang-kurangnya tiga kenderaan dilihat berhenti di hadapan kumpulan gadis berkenaan sebelum salah seorang dari mereka memasuki kenderaan dipercayai untuk dibawa ke rumah urut bagi urusan seterusnya.
Seorang pekerja kedai berdekatan yang dikenali sebagai Hilarick, 23, berkata kumpulan gadis itu pintar kerana bijak berpura-pura berbual sambil ketawa bagi melindungi kegiatan mereka dilihat orang ramai yang melalui Jalan Tabuan.
Katanya, kegiatan itu mula dikesan kira-kira tiga bulan lalu.
"Gadis urut selalunya tidak terlalu bebas untuk bergerak namun ia tidak mustahil berlaku jika majikan mereka mengarahkan berbuat demikian bagi mendapatkan pelanggan yang tidak begitu mengetahui kedudukan rumah urut di sini.
"Pada mulanya memang mereka hanya duduk berkumpul berdekatan restoran dan pub namun lama-kelamaan gadis urut ini mula menawarkan perkhidmatan mengurut dan seks tanpa segan kepada orang ramai yang berkunjung ke premis kami,” katanya.
Bagaimanapun kegiatan gadis urut ditamatkan sebelum jam 10 malam dipercayai bimbang diserbu pihak berkuasa yang melakukan rondaan 24 jam di kawasan sekitar Kuching pada setiap malam.
