Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengeluarkan garis panduan sambutan tahun baru dari perspektif agama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata antaranya adalah penganjuran program yang membawa kepada kesedaran dan kebaikan serta tiada percampuran di antara lelaki dan wanita bukan mahram yang mampu mengundang maksiat.
Pengisian majlis juga perlu bertepatan dengan kehendak syarak, tidak bercanggah dengan budaya Islam, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Sementara itu, JAKIM dengan kerjasama Pusat Bimbingan Puteri Raudatus Sakinah akan menganjurkan program Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati bertemakan Jiwa Kuat Generasi Hebat hari ini dan esok di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Program mensasarkan 2,400 peserta itu dianjurkan sebagai alternatif kepada remaja untuk menyambut ambang tahun baru dan diisi pelbagai acara termasuk Bicara Cinta Anak Muda bertajuk Destinasi Cinta yang akan dikendalikan Fedtri Yahya dan membariskan beberapa panel ternama antaranya Wardina Safiyyah, Heliza Helmi dan Mohd Nor Mamat.

Peserta dan fasilitator bakal disajikan slot menarik seperti hiburan mendidik jiwa daripada kumpulan anak muda Edcoustic, In-Team, Unic dan Hafiz Hamidun, manakala menjelang 12 tengah malam ini, satu laungan ikrar akan dibacakan semua peserta untuk menjauhi zina serta menjaga jati diri.

Di Melaka, sambutan tahun baru akan diadakan di Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh malam ini yang akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diketuai Mufti Melaka, Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh selain bacaan Yasin dan Tahlil.
Program dianjurkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu dijangka disertai kira-kira 1,000 umat Islam termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.