Ekonomi

Samsung rancang beli RIM



Sistem operasi BlackBerry mungkin dilesenkan

Seoul: Firma Korea Selatan, Samsung Electronics Co tidak mempertimbangkan untuk membeli Research In Motion (RIM) atau melesenkan sistem operasi mudah alih baru kepada pengeluar telefon BlackBerry itu.

Kurangnya sokongan daripada rakan berpotensi seperti Samsung bermaksud masalah lebih besar sedang menanti RIM yang sedang meninjau pelbagai pilihan untuk memulihkan perniagaannya.

Saham RIM meningkat kira-kira lima peratus awal kelmarin selepas seorang penganalisis berpengaruh berkata syarikat itu akan melesenkan sistem BlackBerry 10 kepada Samsung.

“RIM sudah pun kehilangan inisiatifnya dalam pasaran telefon pintar dan apa yang tinggal kelihatannya tidak begitu menarik kepada pihak seperti Samsung,” kata Penganalisis Meritz Securities, Lee Sei-cheol.

“Jika mereka memiliki kumpulan paten yang besar, ia mungkin menjadi aset paling menarik kepada pembeli berpotensi.”

Pengeluar terbesar

Samsung, pengeluar telefon pintar terbesar dunia juga ialah penjual terbesar telefon yang menggunakan sistem Android keluaran Google, namun ia juga mengeluarkan telefon yang menggunakan sistem Windows milik Microsoft selain perisian dibangunkannya sendiri yang dipanggil bada.

Strateginya menghasilkan telefon dengan pelbagai platform mewujudkan spekulasi ia mungkin mahu melesenkan sistem operasi BlackBerry untuk menjarakkan lagi kedudukannya sebagai peneraju daripada pesaing seperti Apple.

Ia juga satu daripada usahanya untuk mewujudkan pemisahan daripada Google yang kini memiliki perniagaan telefon bimbitnya sendiri selepas membeli Motorola Mobility.

RIM merancang menggunakan sistem operasi barunya yang dikenali sebagai BB10 ke dalam barisan generasi akan datang BlackBerry dijangka dilancarkan awal tahun depan.

Ia dianggap harapan terakhir RIM untuk memulihkan semula penurunan berterusan BlackBerry dalam penguasaan pasaran.

Saham RIM jatuh kira-kira 80 peratus sejak permulaan tahun lalu apabila Apple dan pengeluar telefon pintar lain mula menjarakkan penguasaan mereka terhadap RIM, yang satu ketika menguasai perniagaan itu. - REUTERS